Konsert jutaan ringgit Sheila Majid

Bertempat di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia, ribuan peminat yang akan membanjiri premis berkenaan akan menjadi saksi kepada sebuah lagi kejayaan yang bakal dilakar oleh penghibur berusia 46 tahun itu menerusi Konsert Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta.


Biarpun raut wajahnya yang anggun itu mempamerkan riak gembira bukan kepalang, namun, jauh di sudut hati, Sheila cukup gementar dan tidak menafikan darah gemuruhnya berkocak deras untuk menghiburkan peminat di sana.

Apabila diberi peluang sekali lagi selepas 23 tahun untuk mengadakan konsert solo di Indonesia yang sudah menjadi rumah keduanya itu, Sheila tidak mampu menolak untuk berasa bangga dengan pencapaian itu.


Konsertnya itu sepatutnya berlangsung pada 23 September lalu tetapi terpaksa ditunda ke hari ini (15 Februari) kerana masalah yang berlaku membabitkan penduduk Indonesia tidak lama dulu.

Tetapi, ia langsung tidak mematahkan semangat Sheila. Malah belaiu lebih bersemangat untuk beraksi dalam konsert yang dijangka akan berlangsung sekitar dua jam setengah itu.

“Setiap penghibur pasti mempunyai darah gemuruh dan begitu juga dengan saya. Lebih-lebih lagi, apabila dapat beraksi dalam sebuah konsert berskala besar seperti ini. Lagi membuatkan saya gementar.

“Tetapi, demi peminat yang telah membesar dengan lagu-lagu saya dan menerima diri saya sebahagian daripada muzik mereka, membuatkan saya benar-benar terharu.

“Atas alasan itu, saya berikrar akan memberikan persembahan terbaik pada konsert itu.

“Saya percaya mereka akan terhibur kerana lebih daripada 20 lagu yang saya nyanyikan semuanya mesra di telinga mereka.

“Dalam erti kata lain, semuanya lagu-lagu wajib yang tidak pernah gagal saya nyanyikan. Namun, ada juga beberapa lagu yang menjadi kegemaran peminat Indonesia seperti Di Dalam Emosi Ini, Kerinduan dan Cinta Jangan Kau Pergi akan saya sampaikan juga.

“Ini termasuk lagu terbaru saya, Dengarkanlah yang sudah pun memasuki pasaran sana,” cerita Sheila penuh teruja.

Penghibur ternama negara itu ditemui pada latihan sempena konsertnya itu di Studio Akarkarya yang merupakan miliknya bersama suami, Acis yang terletak di Damansara, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Sheila dan para pemuziknya yang merangkumi 14 orang itu berlepas ke Jakarta pada 12 Februari lalu bagi menghadiri sidang akhbar serta rakaman untuk rancangan hiburan tempatan.

Kali terakhir, penghibur yang cukup masyhur dengan lagu Sinaran dan Legenda itu membuat persembahan di tanah bekas jajahan Belanda itu adalah pada tahun 1988 menerusi siri konsert jelajah sempena kelahiran album ketiganya, Warna.

Siri jelajah itu merangkumi lapan buah bandar iaitu Jakarta, Jember, Semarang, Solo, Jogjakarta, Malang, Bali dan Bandung yang mencatatkan kejayaan membanggakan buat Sheila dan pasukannya ketika itu.

Kerana itu, Sheila memberitahu untuk dirinya kembali ke Tanah Jawa dan menghiburkan peminatnya di sana, sememangnya menggamit nostalgia yang cukup manis untuknya.

Apatah lagi, untuk Konsert Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta itu menyaksikan Sheila menggunakan khidmat pemuzik dari Malaysia termasuk dua figura penting dalam kerjaya seninya selama bergelar penghibur iaitu Mac Chew dan Jenny Chin selain Acis sebagai pengarah muzik.

Di kala Sheila perlu menjadi pengemis di bumi sendiri untuk mencari penaja bagi merealisasikan konsert besar bagi meraikan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni, namun, itu tidak berlaku di Jakarta.

Berbekalkan nama dan pengaruh Sheila yang cukup hebat dan besar di negara itu, dengan mudah untuk pihak penerbitan dan stesen radio membuka pintu mereka untuk menjadi penaja serta rakan promosi bagi menjayakan konsertnya itu.

Bukan satu dua pihak, tetapi lebih daripada 20 syarikat yang nampaknya tidak perlu berfikir panjang untuk bersetuju menaja konsert solo Sheila yang menelan belanja jutaan ringgit itu.

“Saya bersyukur apabila ramai pihak yang ingin terlibat dalam sambutan jubli perak dunia nyanyian saya. Memang saya akui bukan sesuatu yang mudah untuk menembusi pasaran Indonesia walaupun kita dari negara serumpun.

“Sedangkan penyanyi dari benua Eropah pun perlu bertungkus-lumus untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat. Jadi, saya cukup terharu dan gembira kerana saya diterima dengan baik oleh media dan peminat di sana selama 25 tahun,” ujar empunya nama penuh Shaheila Abdul Majid itu dalam nada rendah diri.

Ketika ditanya tentang kos penganjuran konsertnya itu, Sheila tidak menafikan ia menelan belanja jutaan ringgit. Namun, harga itu jelasnya, adalah harga pakej yang merangkumi semua perbelanjaan bagi menepati nilai persembahan sebuah konsert.

Dalam masa yang sama, ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga memberitahu Konsert Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta itu akan menampilkan kelainan yang barangkali belum pernah disaksikan oleh para peminatnya.

Ini termasuklah permainan efek visual, warna dan video bagi melengkapkan lagi perjalanan konsert tersebut.

“Muzik yang saya tampilkan juga segar namun mengekalkan keaslian melodinya. Saya tidak mahu mengubah banyak dari segi susunan muziknya kerana mahu peminat menikmati dan merasai nostalgia lagu-lagu saya.

“Lagipun, saya sudah beraksi dengan orkestra yang dipimpin oleh dua figura muzik unggul Indonesia iaitu Erwin Gutawa dan Andi Rianto sebelum ini. Jadi, kali ini pemuziknya adalah dari negara kita dengan tambahan beberapa pemuzik dari sana termasuk penyanyi latar yang sudah biasa bekerja dengan saya,” jelas penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1997 ini lagi.

Sempat juga Sheila ditanya tentang para jemputan yang akan hadir menyaksikan konsertnya itu dan ini jawapannya: “Saya dikhabarkan pihak penganjur sudah menjemput nama-nama besar dalam industri muzik dan fesyen Indonesia dan juga antarabangsa untuk menonton konsert saya itu.

“Ini termasuklah idola yang merupakan salah seorang sahabat saya, Vina Panduwinata yang saya berharap akan hadir menyaksikan persembahan saya.”
0 Komentar untuk "Konsert jutaan ringgit Sheila Majid"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info