Ramli Sarip masih tetap berbisa

Aura dan kehebatan Papa Rock Ramli Sarip masih tegar. Suara serak-serak basah yang dimiliki penyanyi kelahiran Singapura itu masih lagi mampu membuai khayalan peminat dengan alunan lagu-lagu evergreen nyer.

Ternyata kehebatan yang ada pada legenda rock ini masih mampu memukau sesiapa sahaja yang menyaksikan persembahannya.

Buktinya, dalam persembahan lebih dari sejam pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Minggu Setiausaha anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini, kemunculan Ramli disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Siapa sangka penyanyi yang akan menginjak usia 60 tahun, tahun depan itu masih digilai masyarakat tanpa batasan usia.


Rata-rata para setiausaha yang hadir pada majlis itu nyata terhibur dengan persembahan bertenaga Ramli yang sempat mendendangkan 12 buah lagu.

Dalam persembahan pada majlis yang diadakan selama dua hari itu, Ramli membawa para setiausaha dan hadirin yang berada dalam Dewan Merdeka, mengimbau kenangan lalu dengan lagu-lagu yang telah melonjakkan nama Ramli Sarip di persada seni hiburan tanah air.

Membuka tirai dengan menyampaikan lagu Inggeris berjudul You Are So Beautiful, kemunculan Ramli di atas pentas terus-terusan mendapat sorokan dan tepukan sehingga gegak gempita bunyi dalam dewan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, lagu Kamelia, Jangan Tunggu Lama-Lama dan Jikalau Berkasih terus kukuh menggamit perasaan hadirin yang turut sama, menyanyikan lagu-lagu tersebut.

Bukan sekadar menghiburkan, Ramli dalam bicaranya sempat menyelitkan nasihat kepada para setiausaha agar tidak berlebih-lebihan dalam menggunakan nikmat yang dipinjamkan oleh Yang Maha Esa.

Suasana pada petang itu bertambah gamat apabila Ramli menyelitkan beberapa rangkap lagu puisi yang dirakamkannya pada tahun 1986 iaitu Aku Menulis Bukan Kerna Nama.

Kala itu, dapat dilihat mulut yang terlopong, pantas bersama 'melayan' lagu berkenaan.

"Terima kasih kerana masih sudi untuk melihat persembahan insan purba ini," seloroh Ramli yang menganggap dirinya 'purba' disebabkan oleh usianya itu.
0 Komentar untuk "Ramli Sarip masih tetap berbisa"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info