Estranged tampil kelainan

Estranged tampil dengan satu kelainan demi memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan indie popular tempatan.

Usaha itu perlu dilaksanakan selepas mereka seolah-olah terpinggir biarpun pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) menerusi lagu hit mereka, Itu Kamu.

Entah di mana silapnya, walaupun lagu mereka, Yang Pernah dan Aurora meletup di stesen radio, namun kumpulan ini seolah-olah ghaib dan menyepi selama dua tahun kebelakangan ini.

Bukanlah keterlaluan jika dikatakan, bisa Estranged semakin hilang dan ingatan peminat terhadap kumpulan yang dianggotai oleh empat anak muda ini juga menjadi semakin pudar.

Nasib Estranged yang tenggelam timbul itu, dibicarakan oleh Richael L. Gimbang (Rich), Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi), Azwin Andy Malik (Andy) dan Solihuddin Hormat (Din) ketika bertemu dengan Hits baru-baru ini.

“Menyepi bukan bererti berundur tetapi diam buat sementara daripada hiruk pikuk industri hiburan tanah air.

“Maka itulah, sebelum AJL23, kami sepakat untuk bercuti daripada mengadakan persembahan namun dalam masa ‘percutian’ itu, kami mencari formula baru untuk tampil dengan produk yang boleh dibanggakan,” kata Din selaku pemain gitar utama kumpulan itu.

Menurut Din, jika ada yang beranggapan kumpulannya itu sudah berkubur, lebih baik dibuang jauh-jauh prasangka tersebut.

Tegasnya, Estranged tetap kukuh dan kini bersedia untuk memberi saingan kepada mana-mana kumpulan yang sedang menikmati kegemilangan dalam industri muzik kini.
0 Komentar untuk "Estranged tampil kelainan"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info