Saingan dua tauke filem (Yusof Haslam dan Daivd Teo)

Dalam industri perfileman tanah air hari ini, Datuk Yusof Haslam dan David Teo adalah dua penerbit filem yang paling menyerlah. Yusof bergelumang dalam dunia perfileman menerusi syarikat produksi miliknya, Skop Productions dan David pula dengan MIG Production.

Walaupun dua penerbit itu berbeza bangsa dan agama, tetapi matlamat mereka adalah sama iaitu menerbitkan filem yang mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya jumlah kutipan tiket filem-filem terbitan mereka menjadi penanda aras atas persaingan tersebut.

Persaingan paling sengit berlaku apabila filem Yusof berjudul KL Gangster mencatat kutipan RM11.6 juta sehingga 26 Jun lalu. Sementara filem Kongsi terbitan David pula mengaut kutipan tiket RM8.4 juta selepas tamat tayangannya pertengahan bulan lalu.

Setakat ini, dua jumlah kutipan itu adalah yang tertinggi buat jualan tiket filem Melayu di negara ini.

Ekoran persaingan yang sengit itu juga, dua tauke filem ini dikatakan bersaing sesama sendiri bagi terus mendominasi jumlah kutipan tiket filem terbitan masing-masing.

Mega buat pertama kalinya berpeluang mempertemukan Yusof dan David pada satu sesi fotografi yang diadakan di pawagam Golden Screens Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada pertemuan itu, mereka merungkai persaingan yang diperkatakan itu.

Tiada unsur perkauman

SEBAGAI penerbit merangkap ahli perniagaan, David Teo tidak menafikan persaingan tetap ada di mana pesaing terdekatnya dalam bidang perfileman tempatan ketika ini adalah Yusof Haslam dan Skop Productions. Malah, ramai orang yang memperkatakan perkara tersebut.

Bagaimanapun, penerbit berasal dari Segamat, Johor ini menyahut cabaran dan persaingan itu daripada sudut yang positif.

Katanya, persaingan sihat itu kelak akhirnya akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak dan industri perfileman keseluruhannya.

"Saya dan Datuk (Yusof) berada dalam 'satu kapal'. Kami berniaga produk yang sama. Kalau filem dia laku, saya juga tumpang gembira. Kalau penonton filem Melayu suka menonton filem dia, maka penonton yang sama juga akan menonton filem-filem terbitan saya. Kita berkongsi penonton yang sama.

"Sebab itu, tidak timbul soal dengki mendengki. Ini adalah satu persaingan yang sihat. Saya dan Datuk sepatutnya boleh bekerjasama supaya jumlah penonton bertambah daripada satu juta kepada dua juta orang. Kami harus bersatu bagi mencapai matlamat itu.

"Kalau kami dapat menarik dua juta penonton ke pawagam, saya optimis kutipan tiket sebuah filem Melayu boleh mencecah RM16 juta.

"Jadi, tidak timbul isu negatif kerana saya dan Datuk bersaing bagi mencapai matlamat masing-masing dengan menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu," katanya.

Pada masa sama, David yang mula menerbitkan filem pertamanya berjudul Syukur 21 pada tahun 2001 berkata, soal perkauman juga tidak seharusnya dibangkitkan dalam isu itu.

Ini kerana, dia turut memperjuangkan survival filem-filem Melayu sama seperti yang dilakukan oleh Yusof.

Malah, David yang telah menerbitkan 61 filem Melayu sejak 10 tahun lalu berasa bertuah kerana biarpun bukan penerbit bumiputra, tetapi semua pihak memberi sokongan kepadanya. Lagi sekali katanya, bangsa dan agama tidak seharusnya menjadi isu dalam persaingan itu.

"Walaupun saya orang Cina, tetapi saya terbitkan filem Melayu. Filem-filem terbitan saya juga diterima dengan baik oleh para penonton filem Melayu.

"Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) juga tidak pilih bulu walaupun saya orang Cina. Saya mendapat layanan yang adil daripada mereka. Bagi saya persaingan, untung dan rugi perkara biasa dalam perniagaan. Saya sudah lama melaluinya.

"Saya pernah menerbitkan filem bertajuk No Problem pada tahun 2002 yang hanya berjaya mengutip kutipan tiket RM100,000 biarpun kos pembikinannya RM650,000.

"Tetapi saya juga pernah mendapat kutipan tiket yang baik melalui filem terbitan saya yang bertajuk Kongsi berjumlah RM8.4 juta dengan kos RM2.5 juta sewaktu tayangannya bulan lalu.

"Semua itu adalah persaingan dan nasib yang menentukan sama ada sambutan filem itu bagus atau tidak," ujarnya.

David kini sedang sibuk membuat promosi dan strategi ke atas filem-filem terbarunya seperti Flat 3A yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 14 Julai ini, manakala filem seterusnya Senario Opocot pula bakal menyusul pada 21 Julai ini.

David bukan pengacau

Sementara itu, Yusof Haslam juga bukan orang baru dalam bidang perfileman. Bersama Skop Productions, beliau sudah 30 tahun menerbitkan filem dan drama televisyen.

Sebab itu, anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini sudah biasa dengan sepak terajang dalam bidang ini.

Lantas, beliau tidak gentar dengan persaingan termasuklah apabila munculnya 'pemain-pemain baru' dalam gelanggang perniagaan filem seperti David Teo dan ramai lagi penerbit lain.

Baginya, persaingan seperti itulah yang akan menguji jatuh bangunnya dalam dunia penerbitan filem selama ini.

"Saya anggap David bukan pengacau, sebaliknya dia membuka mata penerbit filem lain supaya tidak leka tetapi bekerja keras.

"Ramai orang buka mata atas kejayaan David selama ini. Saya sendiri rasa terkejut dengan pencapaiannya itu. Ia membuatkan saya semakin kuat bekerja.

"Bayangkan Skop Productions yang ditubuhkan 20 tahun lalu hanya mampu menerbitkan 30 filem setakat ini.

"Sedangkan David yang baru 10 tahun dalam bidang ini telah menerbitkan 61 buah filem. Itu memang tamparan hebat bagi saya dan saya harus bekerja keras dalam persaingan ini," katanya.

Kata Yusof, meskipun kejayaan yang diraih oleh David dan MIG Production itu amat drastik tetapi beliau tidak menafikan penerbit bukan Melayu itu juga pernah melalui pengalaman jatuh bangun dalam menerbitkan filem.

Kegigihan David itu katanya, harus dicontohi oleh penerbit-penerbit Melayu lain.

Namun, pada masa sama penerbit merangkap pengarah yang pernah mendapat gelaran Six Million Dollar Man itu turut berbangga kerana David pernah menjadikannya sebagai inspirasi dalam bidang perniagaan yang glamor itu. Tambahnya, itu adalah antara sikap positif David dalam bersaing.

"David sebenarnya melihat perkembangan filem-filem terbitan saya dan dia pernah menganggap kejayaan saya sebagai inspirasinya.

"Itu adalah antara ayat yang pernah diucapkannya dalam suatu majlis tidak lama dulu. Dia terus berjuang walaupun pernah gagal dalam bidang ini.

"Itulah pengajaran yang saya cuba tekankan kepada anak saya, Syamsul supaya dia bekerja lebih keras. Saya mahu dia mencontohi sikap David itu.

"Bagus juga ada pesaing seperti David kerana tanpanya, kita semua (penerbit Melayu) akan leka. Secara tidak langsung David pencetus semangat kita semua.

"Di kalangan penerbit Melayu, David juga sebenarnya penyumbang kepada pertambahan bilangan penerbitan filem-filem Melayu. Ia memberi peluang lebih luas kepada para pelakon dan pekerja filem tempatan," jelasnya.

Bagaimanapun, Yusof layak untuk mendabik dada biarpun pesaingnya itu kini dikategorikan sebagai penerbit paling aktif menerbitkan filem Melayu.

Ini kerana, filem terbitan Skop Productions yang diarahkannya berjudul Sembilu berjaya mengutip kutipan tiket lebih RM6 juta pada awal tahun 1990-an.

Itu adalah filem Melayu pertama yang berjaya mengutip kutipan tiket paling tinggi pada dekad tersebut.

Selepas lebih 20 tahun mengarah, Yusof kini lebih banyak menyerahkan tugas mengarahkan filem-filem terbitan Skop Productions kepada anaknya, Syamsul dan Syafiq.
0 Komentar untuk "Saingan dua tauke filem (Yusof Haslam dan Daivd Teo)"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info