Fad terkilan disingkirkan dari Super Spontan 2014



Ahli kumpulan Mawas Berduri, Fad atau Shawn Mail mengakui sedikit terkilan selepas tewas kepada Biawak Laser walaupun undian di awal permainan menunjukkan mereka mendahului dengan 81 peratus.

“Saya sedikit terkilan Mawas Berduri tewas lagi buat kali ketiga sehingga ahli kumpulan kini berkurang kepada empat orang. Saya dan rakan-rakan telah lakukan yang terbaik sejak di awal permainan, namun kecundang dengan  keputusan undian di akhir permainan,” ujar Fad kepada Astro Gempak.

Namun menurut Fad, dia tidak kecewa dengan keputusan ahli kumpulan Mawas Berduri yang memilihnya untuk disingkirkan di minggu keempat.

“Saya tidak kecewa langsung selepas tersingkir di minggu keempat. Ini tahun pertama saya di gelanggang Super Spontan dan banyak perkara yang telah saya belajar. Sekurang-kurangnya ini adalah tahun persediaan dan percubaan saya untuk teknik lawak spontan yang betul.

“Sejak di minggu pertama saya sudah realistik dan bersedia untuk disingkirkan sebab semua yang ada dalam kumpulan saya pelawak yang hebat-hebat belaka. Mereka juga antara senior sana yang banyak membantu dari awal permainan sehingga saya tersingkir. Insya Allah jika saya diberi peluang sebagai peserta pada pada tahun hadapan, mungkin saya sudah bersedia sepenuhnya,” jelas Fad lagi.

Jumaat minggu lalu, Mawas Berduri terpaksa akur selepas tewas kepada kumpulan Biawak Laser dengan beza peratusan undian yang tidak begitu jauh.Fad atau Shawn Mail tidak bernasib baik selepas menerima undian penyingkiran tertinggi menerusi ahli kumpulan Mawas Berduri sendiri. 

Penyingkiran Shawn Mail menyaksikan Mawas Berduri hanya tinggal empat orang peserta dan harus memberikan saingat sengit buat ahli kumpulan Biawak Laser yang terdiri daripada Reza selaku pengurus dan diwakili oleh Shuib (Raksasa Comey), Tauke (John Senah), Shahrol (Super Gayung), Michael Ang (Angpaou Man), Achey (Acik Gelek) dan Abam (Johnny Bear).

Jangan lupa untuk menyaksikan Warna Super Spontan yang akan bersiaran secara langsung di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) bermula  jam 10 malam!
0 Komentar untuk "Fad terkilan disingkirkan dari Super Spontan 2014"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info