Suria FM lamar Zhana kerana kontroversi gambar bogel?

TEKA-TEKI bekas bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Zhana memilih profesion sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio swasta terkenal, kini bukan satu rahsia lagi apabila dia secara rasmi sudah pun memulakan tugasnya di Suria FM pada 1 Jun lalu mulai jam 8 hingga 11 malam menerusi segmen Suria 8-11.

Tahniah diucapkan kepada Zhana kerana selepas menempuh kontroversi pahit yang melanda hidupnya sebaik menyertai AF5 sedikit masa lalu, dia akhirnya mendapat kepercayaan daripada Suria FM untuk menjadi salah seorang daripada anggota keluarga mereka.

Sebelum ini peminat AF digemparkan dengan isu penyebaran gambar aksi panas yang membabitkan bekas peserta AF5, Wan Nurul Zhana Wan Mohd Hamzan atau Zhana, 23, sekali gus dikatakan sebagai punca dia hilang konsentrasi hingga terpaksa menarik diri pada konsert pertama AF5.

Ekoran peristiwa itu, Zhana terus mendiamkan diri sehinggalah isu itu reda, tambahan pula dia sudah pun menyerahkan perkara berkenaan untuk siasatan pihak polis.

Kini, selepas menjadi warga kerja Suria FM.

"Alaa... Suria FM ambil si Zhana tu jadi penyampai radio dia orang bukannya sebab budak tu berbakat, tapi namanya dah panas, jadi sebutan di mana-mana gara-gara isu gambar bogelnya. Kalau Zhana tu sekadar bintang AF yang terkeluar pada konsert mingguan, aku rasa Suria FM pun tak berminat ambil dia," kata seseorang bermulut laser.

Zhana yang juga lulusan Diploma Penyiaran dari Malaysian Institute Integrative Media (MIIM) pernah bertugas sebagai penyampai radio di Traxx FM mulai 2004 selama dua tahun. Ketika dihubungi dia memberi komennya.

"Suria FM yang datang offer Zhana. Selepas memikirkan persaingan sengit jika meneruskan karier sebagai penyanyi, lebih baik Zhana menerima tawaran mereka. Lagipun sebelum ini Zhana memang ada pengalaman sebagai penyampai radio.

"Zhana tak fikir Suria FM menawarkan tempat di stesen mereka kerana kontroversi berkenaan atau mengambil kesempatan ke atas apa yang pernah berlaku terhadap diri Zhana. Mereka profesional. Kini, selepas hampir dua minggu Zhana bersiaran, Zhana semakin selesa dan yakin diterima pendengar.

"Pemanggil yang telefon Zhana di konti pun sentiasa memberi sokongan moral dan tak pernah lupa ucap tahniah kepada Zhana sebab dah jadi penyampai radio. Mereka pun tak pernah tanya mengenai isu itu lagi," kata Zhana.

Zubir sempat bertanya kepada Zhana, bagaimana status isu gambarnya itu selepas siasatan polis, Zhana memberitahu, dia sudah tahu siapa yang bertanggungjawab menyebarkan gambar berkenaan di Internet.

"Malaslah nak fikir perkara itu lagi. Tumpuan Zhana ketika ini ialah terhadap kerjaya yang baru bermula," ujarnya.
0 Komentar untuk "Suria FM lamar Zhana kerana kontroversi gambar bogel?"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info