Suara Emas Bintang RTM 2007 lahirkan bintang baru

SEPANJANG lebih enam dekad, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya melahirkan nama-nama besar dalam dunia seni suara berlandaskan pertandingan Bintang RTM.

Bintang RTM bagaikan satu jenama yang sangat berpengaruh, disegani serta dijadikan tanda aras kemampuan seorang bintang baru seperti Sudirman, Dhalan Zainuddin, Jamal Abdillah, Rosemaria, Rohana Jalil dan ramai lagi.

Terkini Bintang RTM yang dikenali sebagai Suara Emas - Bintang RTM 2007 terus berwawasan untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru yang berkualiti dalam segenap aspek berhubung bidang seni serta mempunyai ketajaman minda.

Justeru itu untuk pertandingan akhir kali ini, lapan finalis iaitu Shahir, Izzi, Zeti, Amin, Shah, Han, Rey dan Alyn bukan sahaja mempertaruhkan bakat nyanyian, malah mereka turut diuji minda tentang soalan berkaitan negara.

Untuk soalan uji minda, pensyarah dari Jabatan Bahasa, Universiti Putra Malaysia, Daniel Hasni Mustaffa dilantik sebagai juri.

Malam final Bintang RTM yang menggunakan tema Malam Seribu Bintang Suara Emas Bintang RTM 2007 itu turut mengundang beberapa artis yang pernah menyertai beberapa program terbitan RTM sebelum ini.

Antara yang terbabit ialah Rohana Jalil, Najib Hanif, Sammy Arif, Andre Goh, Rosemaria, Azharina, Misha Omar, Sarah Raisuddin dan Esther Khoo.

Rey nak bantu keluarga

Tidak terlintas langsung di fikiran Reynaldo Raymond Pagi atau Rey, 21, untuk muncul sebagai juara Suara Emas Bintang RTM 2007.

Bagi anak muda kelahiran Tuaran, Sabah itu, penyertaannya dalam pertandingan tersebut sekadar untuk mengisi masa lapang dan sekali gus mengasah bakat bagi melihat sejauh mana dia mampu mengorak langkah.

Namun seperti kata pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu’. Itulah yang terjadi kepada Rey.

Anak sulung daripada empat beradik itu bukan sekadar diangkat sebagai juara malah turut menjadi pilihan orang ramai untuk muncul sebagai Bintang Paling Popular berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak 41.19 peratus berbanding rakan-rakan lain.

Kejayaan berganda yang diperoleh oleh Rey itu melayakkan dia menerima wang tunai berjumlah RM16,000 kerana RM3,000 daripadanya adalah hadiah bagi kategori Bintang Paling Popular.

Rey yang merupakan pelajar semester lima, pengkhususan vokal klasik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur itu pada mulanya menyangkakan Zeti atau Nurul Izzati Azhar dari Tanjung Kling, Melaka yang akan muncul sebagai juara.

“Bila dengar Zeti nyanyi, saya agak mungkin dia yang akan menang. Selain Zeti, Han, Shahir dan Amin juga adalah saingan saya. Tapi sudah ditentukan malam ini rezeki saya,” katanya sambil tersenyum.

Rey yang mendendangkan lagu Mata Hati Jiwa nyanyian Awie dan You Raise Me Up dendangan Josh Groban itu berpendapat antara faktor yang menyebabkan dia menjadi pilihan juri ialah kerana teknik nyanyian dan sebutan setiap seni kata yang jelas serta persembahannya yang tersendiri.

Kata Rey, apabila namanya diumum sebagai pemenang secara spontan merasakan dirinya seperti Jamal Abdillah atau Sudirman yang pernah muncul sebagai juara sebelum ini.

“Saya terkejut apabila nama diumum dan tidak sangka saya dapat berada di platform yang sama seperti juara-juara lalu. Saya merasa begitu bangga kerana ini adalah pencapaian terbesar,” katanya terus terang.

Bila ditanya apakah yang akan dilakukannya dengan wang kemenangan tersebut?

Sambil tersenyum bangga, Rey berkata perkara utama yang akan dilakukannya ialah membelanja adik-adiknya.

“Sebagai anak sulung, saya ingin melihat adik-adik saya gembira. Dulu masa kecil, saya tidak dapat memiliki barangan yang saya hendak.

“Sekarang saya akan cuba memenuhi kehendak adik-adik supaya mereka dapat merasai kegembiraan seperti orang lain,” katanya yang berkebolehan bermain dram, gitar bes dan keyboard itu.

Malah Rey juga amat terharu kerana sepanjang tempoh pertandingan tersebut, ibu bapanya sering memberi galakan. Justeru itulah kemenangan yang diraih adalah hadiah untuk mereka.

Sebagai juara, Rey yang meminati genre muzik rock berkata, setakat ini dia belum merencana masa depannya dalam kerjaya seni.

Bagaimanapun Rey yang mula mengasah bakat nyanyian bersama koir gereja berkata, jika mendapat tawaran untuk merakam album dalam waktu terdekat dia tidak akan menolak.

Shahir nak buat album adik beradik

Sementara Wan Muhd. Shahhir Wan Abd. Wahab atau Shahir, 23, yang menduduki tempat kedua seolah-olah mengulangi sejarah kejayaan dalam keluarganya.

Jelas Shahir, pada tahun 1976, bapanya, Wan Abd. Wahab Wan Ahmad Tajuddin juga menduduki tempat kedua dalam pertandingan Bintang Radio.

Anak kelima daripada enam beradik itu bukan kali pertama menyertai Bintang RTM. Sebelum ini dia juga pernah sampai ke peringkat akhir tapi nasib tidak menyebelahinya.

“Kejayaan ini mungkin rezeki untuk saya yang merupakan peserta pertama menyanyi. Menjadi peserta pertama memang kelam kabut tapi saya bersyukur kerana usaha saya tidak sia-sia,” katanya yang memperolehi undian 23.20 peratus untuk kategori Bintang Paling Popular.

Dia yang berasal dari Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang itu memilih lagu Bunga Melor dendangan Tan Sri P.Ramlee dan My Baby You, nyanyian asal oleh Marc Anthony.

Kata Shahir, meskipun menduduki tempat kedua dengan wang kemenangan berjumlah RM7,000, dia tetap gembira kerana itu adalah kejayaan tertinggi yang diraihnya.

Sebelum ini, Shahir pernah mencuba nasib dalam pertandingan Asia Bagus di Jakarta pada 1999 dan Bintang Asli Remaja Negeri Selangor pada tahun 1998, 2000 dan 2001.

Dia yang mula menyanyi sejak usia 12 tahun menerusi lagu-lagu ghazal itu berhasrat untuk menghasilkan album bagi memenuhi impian bapanya.

“Sejak dulu abah minta saya buat album. Bahan sudah ada dan abang saya, Wan Shalim turut terlibat. Begitu juga dengan kakak saya. Mungkin ini adalah album adik beradik.

“Bila akan diterbitkan bergantung kepada kewangan dan masa. Tapi kalau ada pihak yang mempelawa saya untuk membuat rakaman, saya akan terima,” katanya yang akan melaburkan wang kemenangan untuk proses pembikinan album bersama adik beradik itu.

Dia yang dilahirkan dalam keluarga seni itu kini sibuk menguruskan perniagaan butik S & H Wedding Planner & Arts Studio di Seksyen 11, Shah Alam.

Han tetap bersyukur

Ramai yang beranggapan Rehana Mohd. Yunus atau Han, 20, yang berasal dari Labuan, Sabah bakal muncul sebagai juara Bintang RTM 2007.

Namun peserta yang mempunyai wajah mirip Jaclyn Victor itu hanya mampu menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM4,000.

Bagi Han yang mendendangkan lagu Terlalu Istimewa yang dipopularkan oleh Adibah Nor dan Gemilang oleh Jaclyn Victor tetap gembira biar apa kedudukannya.

“Ini sudah rezeki saya. Apa pun saya tetap bersyukur biarpun tidak bergelar juara. Meskipun orang nampak saya berkeyakinan sewaktu di pentas sebenarnya saya tergelincir (nyanyian) kerana kurang sihat,” katanya terus terang.

Han juga menolak dakwaan yang mengatakan dia meniru gaya Jaclyn dan sebab itu gagal menarik perhatian juri yang diketuai oleh Pemuzik Kanan RTM, Mohd. Asnawi Muta’al, komposer Audi Mok, Manan Ngah, penyanyi Juliza Adlizan dan penulis lirik Habsah Hassan.

Kata Han, dia memilih lagu Gemilang bukan kerana ingin menjadi Jaclyn. Baginya lagu itu ada kekuatan tersendiri dan sesuai untuk pertandingan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk ikut cara Jaclyn kerana saya ada vokal dan gaya tersendiri,” katanya penuh yakin.

Dia yang sering menyanyi dengan kombo RTM Sabah itu berharap pertandingan ini dapat dijadikan batu loncatan untuk mengembangkan bakat seninya.
0 Komentar untuk "Suara Emas Bintang RTM 2007 lahirkan bintang baru"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info