Siti dan LV dilihat seperti tidak dapat dipisahkan. Mengapa dikatakan demikian? Jenama mewah itu sering kali dikaitkan dengan Siti Nurhaliza kerana beliau merupakan antara selebriti tempatan yang kerap menggunakan barangan daripada jenama berkenaan.
Dengan statusnya kini dan menjadi anak seni selama hampir 11 tahun, tidak mustahil dia mampu untuk memiliki barangan berjenama mewah. Hati sering juga tertanya, berapa jumlah yang Siti habiskan untuk membeli sebuah beg? Berapa koleksi barangan LV yang Siti ada? Atau adakah barangan jenama mewah lain yang Siti miliki selain daripada LV?
Dalam satu pertemuan eksklusif yang diatur oleh Key Message Public Relations Sdn. Bhd., yang mewakili pihak Olay di butik LV yang terletak di Starhill Gallery, Kuala Lumpur, segala persoalan yang bermain di fikiran akhirnya terlerai apabila Siti membuka rahsia tentang cintanya terhadap barangan LV.
Kata Siti, orang pertama yang memperkenalkan jenama LV kepadanya adalah penyanyi bersuara lantang iaitu Ziana Zain.
“Saya masih ingat lagi kata-kata Kak Ziana yang mengatakan kita sebagai artis, bekerja keras untuk menghiburkan peminat. Jadi, apa salahnya, korbankan sikit wang ringgit untuk memiliki barangan berjenama mewah ini. Bukan untuk siapa pun tetapi untuk kepuasan diri sendiri,” kata Siti mengimbas kembali memorinya.
Tambahnya lagi, dia hanya mampu memiliki barangan LV selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang seni.
“Kalau tidak salah saya, barangan LV pertama yang saya beli pada tahun 2002 adalah sebuah beg tangan yang masih lagi saya gunakan dan simpan sampai sekarang.
“Memang, apabila dilihat pada harganya, pasti ramai yang akan mengatakan dan mengandaikan ia merupakan satu kerugian besar tetapi tidak pada saya. Ia memberi satu kepuasan dan semuanya untuk pelaburan jangka masa panjang,” jelas penyanyi yang kini popular dengan lagu Menanti Pasti, salah sebuah lagu di dalam album runut bunyi, Kayangan The Soundtrack.
Jelas duta produk Olay dan Pantene ini lagi, pada awal dia membeli barangan LV, dia turut merasa keperitannya apabila mengeluarkan sejumlah wang yang begitu besar hanya untuk memiliki sebuah beg tangan, namun demi minatnya terhadap LV, dia sanggup bekerja keras untuk memilikinya.
“Apabila sejumlah wang yang agak besar dikeluarkan, saya terpaksa bekerja keras bagi menampung balik jumlah yang telah saya gunakan untuk membeli barangan LV itu.
“Saya gunakan LV atau barangan jenama mewah yang lain bukan untuk menunjuk atau riak, tetapi saya rasa, itu merupakan satu penghargaan untuk diri saya setelah bekerja keras. Malah, saya mementingkan pada kualiti dan saya berbangga memiliki barangan mewah atas usaha saya sendiri,” ujar penyanyi kelahiran Kampung Awah, Pahang, itu lagi.
Sehingga kini, kata Siti, dia mempunyai barangan LV lebih daripada 20 jenis termasuk beg tangan, dompet dan beg pakaian. Jika dihitung nilai kesemuanya itu, tidak mustahil koleksi Siti itu mencecah ratusan ribu ringgit!
“Kalau sekali belanja di butik LV, sekurang-kurangnya RM10,000 saya belanjakan. Itu semua bergantung kepada jenis barangan yang saya beli,” akui Siti.
0 Komentar untuk "Barangan mewah untuk kepuasan diri - Siti Nurhaliza"