APABILA memilih haluan hidup sebagai artis, lima bintang baru ini sudah sedia maklum dengan perjalanan hidup mereka yang tidak akan sama lagi seperti dulu. Masa bersama keluarga cukup terhad, begitu juga peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan juga terbatas. Lebih-lebih lagi apabila tibanya Ramadan, kerinduan dan keinginan untuk bersama keluarga serta sahabat handai semakin menebal.
Apa lagi tahun ini adalah tahun pertama bintang Akademi Fantasia 5, Mila, Ebi, Aizat, Nonny dan Heliza bergelar selebriti. Sudah lebih seminggu umat Islam berpuasa, belum sekali pun mereka berpeluang untuk merasai waktu bersahur dan berbuka bersama keluarga. Bagi Mila, Ebi, Nonny dan Heliza, hanya telefon saja menjadi penghubung tatkala rindu pada keluarga menggamit perasaan. Mungkin Ebi masih mampu menahan perasaannya tetapi tidak bagi tiga gadis ini. Ketika bertemu mereka di majlis berbuka puasa anjuran Astro, ketiga-tiga mereka mengakui sedih dan ada ketikanya tidak mampu menahan linangan air mata apabila teringatkan keluarga terutama pada hari pertama puasa, teringat saat-saat berbuka, sama-sama menunaikan solat sunat tarawih serta keseronokan membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.
Tahun ini semua itu tidak dapat dirasai, dari bersahur hingga berbuka. Tidak ada tangan ibu yang menyediakan dan semuanya harus dilakukan sendiri. Untung mereka bergelar selebriti, setiap hari pasti ada saja undangan majlis berbuka puasa. "Hari pertama puasa, Mila telefon emak. Kami sama-sama menangis kerana inilah kali pertama Mila dan keluarga berjauhan. Teringin juga balik menyambut puasa dengan keluarga tetapi jadual kerja tidak mengizinkan Mila untuk buat semua itu. "Apabila bersahur sendirian terkenang meriahnya kami bersahur. Pagi-pagi emak sudah bangun memanaskan masakan untuk kami makan. Mila pun sama-sama bantu emak menghidang makanan untuk keluarga," katanya yang baru saja pulang dari Sydney, Australia meninjau lokasi untuk klip videonya. Mila sudah pun merancang untuk pulang ke kampung bersama-sama Aswad dan seorang lagi teman. Pada hari raya kedua pula, si genit yang berasal dari Pulau Mutiara ini akan mengadakan kenduri kesyukuran di atas kemenangannya.
Heliza, gadis bermata galak berasal dari Terengganu ini juga menjadikan telefon sebagai penghubung dengan keluarga. Setiap hari jam 3.30 pagi, Heliza akan menghubungi keluarganya di Tawau, Sabah. Kerinduan sedikit terubat walaupun sekadar mendengar suara. Namun, dia masih beruntung kerana tinggal bersama ibu saudara di Ampang. Walaupun tinggal bersama ibu saudara, kata Heliza jarang sekali dia dapat berbuka bersama mereka. Hanya pada hari kelima puasa dia dapat berbuka di rumah, sekurang-kurangnya terubat sedikit rindu pada keluarga. "Puasa tahun ini memang lebih meriah. Liza berpeluang bertemu dengan ramai orang, mereka yang Liza tidak sangka macam Kak Nita. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama berjauhan dengan keluarga, Liza sudah biasa berjauhan dengan keluarga sejak menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) lagi.
"Bezanya dulu Liza dapat cuti seminggu sebelum raya. Liza memang rapat dengan emak, jadi setiap kali pulang ke rumah Liza akan ikut emak pergi sembahyang tarawih. Tapi nampaknya tahun ini Liza langsung tidak berpeluang untuk menunaikan solat tarawih," katanya yang sukakan kuih tradisional Terengganu seperti kuih sekaya, puteri nanas, onde-onde dan banyak lagi. Nonny yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah pula terkenangkan murtabak jawa dan laksa. Juadah itu adalah makanan wajibnya setiap kali dia berkunjung ke bazar Ramadan Tanjung Aru. Tetapi tahun ini, dia tidak dapat menikmati makanan kegemarannya itu. Kenangan berbuka puasa dengan keluarga membuatkan air matanya mengalir. Dengan kecanggihan telefon bimbit, Nonny menggunakan telefon 3G untuk menatap wajah keluarganya. Setiap hari dia bersahur sendirian kerana tinggal menyewa seorang diri.
Nonny akan bersahur awal pagi dalam jam 1 hingga 2 pagi biasanya selepas pulang dari kerja. Ia lebih mudah kerana bimbang tidak mampu untuk bangun jika dia tidur terlebih dulu. Kalau Nonny dan Heliza terkenangkan makanan kegemaran dan berbuka bersama keluarga, Ebi pula terkenang membantu ibunya menggentel popia kecil yang menjadi sumber pendapatan keluarganya setiap kali raya. "Paling saya rindu setiap kali Ramadan menjelang, saya dengan emak akan buat bisnes kuih raya popia kecil. Saya akan tolong emak gentel popia. Kalau nak suruh saya gulung sekarang pun tidak ada masalah cuma intinya saya tidak pandai buat. "Selain itu saya juga rindukan kawan-kawan.
Mereka selalu telefon tanya khabar dan bertanya bila saya mahu pulang. Mungkin raya ini saya dapat cuti dalam seminggu. Kalau ikutkan cuti tidak mencukupi kerana banyak saudara yang ingin diziarahi tapi tidak mengapalah. "Saya sudah belikan emak dengan bapa baju. Saya belikan mereka baju warna ungu dan saya juga sudah telefon emak supaya tidak perlu beli baju kerana saya sudah belikan untuk mereka. Inilah kali pertama saya belikan persiapan raya untuk mereka," katanya yang akan melakukan sendiri solat tarawih jika tidak berkesempatan menunaikannya di masjid. Berbeza pula dengan Aizat, keluarganya berada di Kuala Lumpur justeru dia tidak merasa apa yang dirasai rakan-rakannya.
Aizat juga berpeluang berbuka puasa beberapa kali dengan keluarganya. Ditanya tidakkah dia teringin menjemput rakan-rakannya berbuka bersama keluarganya, jejaka ini berkata, setakat ini dia belum ada sebarang rancangan lagi. Cuma baru-baru ini dia mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama peminat.
Sumber : Berita Harian
0 Komentar untuk "Nostalgia Ramadan bintang AF"