Lawak tak masuk akal

OLEH kerana demam angkasawan negara belum reda, maka CK pun hendak juga bercerita mengenai kisah yang ada kena-mengena dengan topik serupa. Jika minggu lalu kecoh sekejap setelah seorang penyampai radio wanita tersalah sebut nama angkasawan negara, minggu ini pun masih mengenai Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Kali ini, bukan kisah penyampai tersalah sebut nama.

Tetapi CK banyak dengar rungutan mengatakan seorang lagi penyampai wanita daripada stesen radio yang ada pertalian darah dengan radio pertama tadi, yang kononnya buat lawak tidak masuk akal. Kejadian ini khabarnya berlaku pada malam raya yang lalu. Tatkala orang ramai seronok menyediakan persiapan raya, maka si penyampai ini pun kononnya hendaklah juga tumpang sekaki. Maka tiba-tiba dia berkata, Sheikh Muszaphar tidak adakah rumah terbuka di angkasa?

Beberapa rakan CK yang mendengar siaran radio itu malam berkenaan, saling berpandangan sesama sendiri dek lawak yang tidak masuk akal itu. Keinginan untuk gelak dan hendak menangis kerana kasihan dengan lawak tidak menjadi itu, semuanya bercampur baur. Kalau di angkasa itu ada 10,000 manusia, bolehlah juga agaknya buat makan-makan. Lagipun, bukannya Sheikh Muszaphar pergi ke sana untuk beraya, sebaliknya menyempurnakan misi negara. Lainlah kalau si penyampai ini hendak masak lemang, buat kuih dan rebus ketupat dan kemudian hantar ke ISS.

Sumber : Berita Harian
0 Komentar untuk "Lawak tak masuk akal"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info