Ramadan yang berbeza buat Mila, Dafi & Shawal
TAHUN ini merupakan kali pertama Mila, Dafi dan Shawal menyambut Ramadan sebagai artis. Justeru jadual harian mereka juga berubah. Jika dulu, masa lebih banyak diluangkan dengan keluarga, kini mereka perlu memenuhi pelbagai undangan berbuka puasa di luar.
Namun seperti tahun-tahun sebelum ini, ketiga-tiga bintang Akademi Fantasia musim kelima itu tetap meneruskan tradisi membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan jika ada kesempatan.
Baru-baru ini Mila, Dafi dan Shawal mengunjungi bazar Ramadan di Cheras, Kuala Lumpur.
Mila yang tinggal serumah dengan Candy, sempat membeli ayam percik sebagai juadah. Sementara Dafi yang berbuka puasa dengan keluarga turut membeli nasi tomato sebagai bekalan. Shawal pula singgah di gerai menjual kuih akok untuk hidangan keluarga.
Emak telefon kejutkan sahur - Mila
Mila yang popular dengan lagu Persis Mutiara itu berkata, inilah kali pertama dia berpuasa berjauhan dengan keluarga.
Sebagai anak rantau, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 19, mengaku yang dia sedih pada hari pertama berbuka puasa.
“Mila tidak pernah berjauhan dengan keluarga. Mula puasa hingga hari ini, mak akan telefon kejutkan Mila untuk bangun sahur.
“Bulan puasa begini barulah teringat gulai ikan masakan mak. Hari itu Mila ‘curi’ balik Penang sebab nak berbuka dan bersahur dengan keluarga,” ceritanya.
Dia yang gemar makan agar-agar, kuih sagu dan air manis sebagai pembuka puasa berkata, kalau tidak ada sebarang aktiviti dia akan berbuka dengan teman serumah iaitu Candy.
Oleh kerana sibuk, Mila lebih selesa membeli makanan di bazar Ramadan untuk berbuka dan sahur.
Mila yang akan mula merakamkan lagu untuk album sulung tidak lama lagi berkata, album yang menampilkan konsep balada pop rock itu akan menggunakan khidmat Ajai, Ramli M.S dan Loloq. Albumnya dijangka berada di pasaran pada akhir November ini.
Bagi memastikan vokalnya lebih mantap, Mila akan kembali menjalani latihan vokal dengan cikgu Syafi.
Rumah terbuka
Sementara itu, Mila sudah pun merancang program rayanya. Katanya, “Pada raya pertama, Mila akan beraya di rumah sanak saudara. Raya kedua barulah buat rumah terbuka di rumah keluarga Mila di Pulau Pinang. Rumah terbuka dari pukul 2 hingga 5 petang tu untuk peminat sebagai tanda terima kasih Mila kepada mereka.
“Mila juga nak ambil kesempatan raya ini untuk berkunjung ke rumah kawan-kawan yang sudah lama tidak berjumpa itu,” katanya tulus.
Dia yang telah membeli baju kurung dan kebaya untuk bergaya pada Hari Raya nanti juga telah membeli beberapa pasang baju untuk adik-adiknya, Norafifah, 14, dan Norfadhlin Sakina, 9 tahun serta ibu bapanya.
Mila yang suka makan biskut Almond London itu berkata, sebelum pulang ke kampung, dia akan membeli beberapa jenis biskut sebagai buah tangan.
Pesanan raya dari Mila: “Dengarkan lagu raya persembahan Mila, Pulanglah dalam album Salam Aidilfitri AF5. Lagu tu pernah dipopularkan penyanyi kesukaan Mila, Aishah.”
Dafi tempah kad untuk peminat
Kata Dafi, sekarang dia jarang berpeluang berbuka puasa dengan keluarga kerana ada sahaja undangan daripada pelbagai pihak.
Namun, dia akan menggunakan waktu bersahur untuk berbual bersama ahli keluarga.
“Sebenarnya waktu bersahur, Dafi tidak makan sangat cuma ambil syarat sahaja. Minum sikit, yang selebihnya berborak dengan keluarga, sebab itu sahaja peluang kami bersama,” ceritanya yang kini popular dengan lagu Bila Terasa Rindu.
Kata Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 19, yang turut menyanyi dalam album Aidilfitri AF5 menerusi lagu Cahaya Raya Jiwa Kita, Getar Ria Raya dan Inang Aidilfitri, awal-awal lagi dia sudah menempah kad raya.
Kad raya yang tertera gambarnya itu akan digunakan untuk membalas kad raya dari peminat.
“Dafi akan tulis dan balas sendiri kad-kad raya dari peminat,” katanya terus terang.
Dafi juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka khas untuk peminat-peminatnya. Bagaimanapun majlis yang akan dianjurkan oleh Kelab Peminat Dafi itu belum ditentukan tarikhnya.
“Apa pun bapa Dafi akan buat rumah terbuka di Bera, Pahang nanti,” katanya yang akan beraya di Gombak pada Hari Raya pertama sebelum ke Pahang.
Dia yang telah membeli beberapa pasang baju Melayu dengan pelbagai warna itu boleh dilihat kemunculannya dalam program Seiring Jalan (raya kedua), Rumah Terbuka AF dan Sampaikan Salam di TV3 pada malam raya.
Shawal sudah biasa marhaban
Penyanyi yang dilahirkan tiga hari selepas raya ini berkata, sepanjang Ramadan ini dia sibuk menjayakan program Marhaban di Astro yang telah menjelajah ke Kuantan, Alor Setar, Terengganu dan Kelang.
Shawal atau nama sebenarnya Mohd. Shawal Ruslan, 23, berkata marhaban bukanlah aktiviti baru baginya. Sejak di sekolah lagi, dia sudah mula menyertai kumpulan marhaban.
Bakal muncul dalam program Syawal Azam menerusi RTM1 pada Hari Raya kedua, Shawal kini berdebar menunggu masa untuk rakaman single pertamanya ciptaan Adnan Abu Hassan. Shawal juga telah menempah poskad untuk diberikan kepada peminat-peminatnya sempena Hari Raya ini.
“Saya juga merancang untuk mengadakan majlis Hari Raya bersama peminat-peminat,” katanya yang akan beraya bersama keluarganya di Lenggeng dan Jelebu, Negeri Sembilan.
Berlakon
Seperti bintang AF5 lain, Shawal turut mendapat tawaran berlakon. Terbaru, dia dijangka muncul dalam satu telefilem yang menampilkannya sebagai pelakon utama.
“Saya akan membawa watak lelaki gay. Watak itu amat mencabar kerana sebagai orang baru, banyak perkara yang perlu saya pelajari. Saya harap orang tidak salah anggap kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baru bagi mencari pengalaman,” katanya terus terang.
0 Komentar untuk "Ramadan yang berbeza buat Mila, Dafi & Shawal"