SPA-Q kupas kisah cinta, penipuan di TV3

SLOT Akasia berjudul SPA-Q mengisahkan kehidupan enam wanita, Qistina, Fatin, Alya, Nora, Farah dan Juita mengharungi hidup dengan penuh pancaroba. Kisah cinta, penipuan, dayus dan keluarga yang pastinya menambat hati penonton setia TV3. SPA-Q yang mula bersiaran pada 22 Oktober lalu akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang.

SPA-Q dibintangi pelakon ternama tanah air seperti Datin Norish Karman, Betty benafe, Elly Mazlein, Farahdiya, Intan Azura, Nisha Dirr, Fahrin Ahmad, Ridzuan Hashim dan Zizan Nin. Qistina terlalu yakin yang dia memiliki segala-galanya. Suaminya, Rizman dianggap seorang lelaki sebaik-baik umat, berjaya dan penyayang. Hidupnya dilengkapi dengan dua orang zuriat yang meningkat remaja, Dafi dan Melissa.

Melissa lebih rapat dengan Rizman dan Dafi pula rapat dengan Qistina. Qistina juga mempunyai sebuah pusat rawatan muka dan spa dikenali sebagai Kunang-Kunang. Salah seorang pelanggan tetap Qistina ialah Nora. Nora wanita yang cantik dan berkerjaya. Nora mengikat tali pertunangan dengan Luqman. Nora begitu yakin bahawa Luqman memiliki segala-gala yang diidamkan setiap wanita. Lelaki yang bakal menjadi ayah kepada anak-anaknya nanti. Pada Luqman, dia menyandarkan segala harapan dan mimpi indah.

Pada Qistina, Nora memberitahu Luqman akan mempercepatkan majlis pernikahan mereka. Manakala Alya, adalah pekerja terbaik di Kunang-Kunang mengambil jalan untuk menamatkan pernikahannya dengan Nasir. Pasangan ini merasakan, tidak ada jalan penyelesaian antara mereka kerana perbezaan pendapat mengenai hidup dan masa depan.

Farah, pakar dalam bidang aromaterapi dan mengurut pula mencurahkan masalahnya kepada Alya. Dia tidak tahan lagi untuk terus tinggal dengan ibu bapanya kerana mereka selalu bertengkar walaupun pada benda kecil. Qistina pula mengalu-alukan kedatangan Fatin, seorang yang cantik tapi datang dari keluarga yang susah ke Kunang-Kunang. Hisham, pula yang dalam diam sudah lama memendam perasaan pada Nora. Qistina pula dapat merasakan semacam ada yang tidak kena antara dia dan suaminya. Sementara itu, Luqman menyatakan hasratnya untuk mempercepatkan pernikahannya dengan Nora. Nora gembira. Manakala Rizman pula merasakan yang isterinya tidak perlu curiga walaupun masanya banyak di luar, semua itu dilakukan demi keluarga. Fatin pula mula rimas dengan leteran ibu saudaranya, Zalina dan kawan baik ibu saudaranya, Kathy. Mereka membebel kerana tidak setuju dengan pekerjaan Fatin. Tapi bagi Fatin, kalau itu cara untuk mendapatkan duit dengan cara mudah, kenapa tidak.

Farah pula mengadu masalahnya kepada teman lelakinya, Syawal. Farah merasakan, sebagai pasangan kekasih Syawal sepatutnya berada di sisinya bila-bila dia memerlukannya. Manakala Syawal pula sangat komited terhadap kerjayanya. Nora pula kecewa apabila Luqman bermati-matian mengatakan apabila mereka sudah bernikah, dia tidak ingin memiliki anak dalam masa yang terdekat.

Manakala Nora pula merasakan sebaliknya. Dalam usia yang mencecah 38 tahun, sewajarnya dia punya zuriat sebaik saja selepas bernikah. Apakah yang terjadi pada rumah tangga Qistina? Dapatkah dia mempertahankan rumah tangganya? Bagaimana pula dengan Luqman, berjayakah dia mengahwini Nora? Tetapi Hisham pula mencintai Nora. Untuk mengetahui kesudahannya, tontonilah slot Akasia, Spa Q.

Sumber : Berita Harian
1 Komentar untuk "SPA-Q kupas kisah cinta, penipuan di TV3"

tau tak laman web citer nih?if ade lah..sory kcu

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info