Tindakan stesen televisyen siar dokumentari Islam wajar dipuji

ANTARA program menarik di televisyen sepanjang Ramadan lalu ialah dokumentari selama 30 minit mengenai Islam. Hampir semua stesen TV mengetengahkan pelbagai pendekatan mengenai Islam yang sememangnya boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Kita bangga dengan kegigihan stesen TV atau syarikat penerbitan yang menerbitkan dokumentari mengenai Islam, lebih-lebih lagi dengan pengisian dan pendekatannya bersifat universal iaitu sesuai untuk diikuti oleh penonton pelbagai agama dan kaum.

Ada dokumentari mengenai sejarah Islam, menjejaki sirah Rasulullah, memaparkan perkembangan dan kemajuan Islam di negara bukan penganut Islam dan banyak lagi. Cuma yang jadi masalah ialah waktu siarannya hampir serentak iaitu pada sebelah petang, ketika orang biasanya masih bekerja, dalam perjalanan balik dari tempat kerja atau sibuk membuat persiapan berbuka puasa. Kita harap stesen TV boleh kaji semula waktu siaran atau membuat siaran ulangan pada waktu yang sesuai kerana ia memberi manfaat kepada penonton. Program Jejak Rasul yang disiarkan di TV3 dan Syahadah di RTM1, adalah dokumentari yang sudah jadi jenama tersendiri. Menerusi Astro pula, penonton disajikan dengan program Ziarah.

Dokumentari Al-Risaalah pula disiarkan di TV9. Bagaimanapun, Al-Risaalah yang sarat dengan petikan al-Quran dan berjela-jela membuatkan program ini agak membosankan sehingga penonton seolah-olah sedang mendengar tazkirah pula. Al-Risaalah sepatutnya menjadi dokumentari menarik kerana ia mengenai perjalanan 15,000 kilometer Nabi Ibrahim a.s dalam menyebarkan dakwahnya. Walaupun lokasi yang ditunjukkan bagus, tetapi ia tidak disokong dengan keterangan secukupnya. Contohnya, tidak ada penerangan menunjukkan adakah benar Namrud seorang Raja Iraq yang mengarahkan Nabi Ibrahim a.s dibakar? Di manakah tempat peristiwa itu berlaku? Di manakah tempat Nabi Musa a.s dihanyutkan ke Sungai Nil semasa bayi? Memang betul sejarah mengenai Nabi-Nabi dan Rasul, ada dinyatakan dalam al-Quran dan ia tidak boleh dipersoalkan, tetapi apa yang penonton hendak tahu ialah kaitannya dengan visual yang dipaparkan oleh program ini.

Kita sebenarnya lebih mudah memahami bagaimana National Geographic membuat dokumentari mengenai kesan peninggalan Firaun yang lebih fokus seperti nama Firaun yang dikaji, bagaimana dia mati, di mana dan berapa lama dia hidup. Memang Al-Risaalah tidak boleh mengikut National Geographic tetapi kaedahnya boleh ditiru.

Biarlah sekadar memaparkan kesan sejarah empat atau lima Rasul, asalkan Al-Risaalah benar-benar memberi pengetahuan serta maklumat yang berkesan kerana setiap peninggalan anbia itu diberikan fokus dengan lebih mendalam. Dalam pada itu, kita mengharapkan Jejak Rasul dapat memaparkan jejak yang ditinggalkan oleh pahlawan agung Islam dalam menyebarkan syiar Islam secara berkesan. Antaranya panglima Islam terkemuka, Khalid al-Walid yang susun galur keluarganya bertemu nasab (keturunan) dengan Nabi Muhammad SAW dan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Ibunya, Lubabah al-Sughara ialah adik perempuan Maimunah, isteri Nabi Muhammad. Panglima Islam lain seperti Zaid Bin Harithah yang diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW memimpin 3,000 tentera Islam menentang 200,000 tentera Rom dalam perang di Muktah.

Dalam perang itu, Zaid dan beberapa panglima Islam seperti Jaafar Bin Abu Talib dan Abdullah Rawahah terkorban tetapi panji Islam terus dikibarkan oleh Thabit Bin Arqad. Seorang lagi panglima Islam terkemuka ialah Ikramah Abu Jahal. Beliau yang asalnya menentang Islam dan Nabi Muhammad SAW seperti bapanya, Abu Jahal tetapi akhirnya memeluk Islam dan kemudian menjadi jeneral Islam yang syahid di medan perang. Ikramah diamanahkan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq untuk memimpin 40,000 tentera Islam menentang 250,000 tentera dalam pertempuran di Yarmuk, Jordan. Perang itu mengorbankan Ikramah, anaknya, Umar dan Haris Bin Hisyam.

TV3 juga mungkin boleh membuat jejak peninggalan Salahudin Ayubi atau nama sebenarnya Yusof Najmudin, seorang panglima Islam yang sangat disegani oleh Barat kerana keberanian dan kecekalannnya memimpin tentera Islam menawan semula Baitulmaqdis dalam Perang Salib pada tahun 1187. Semua lokasi di mana berlakunya pertempuran itu seperti Perang Badar, Uhud, Khandak, Yarmuk, Muktah atau Perang Salib mungkin boleh dikesan dan dipaparkan oleh Jejak Rasul. Dalam Syahadah pula, selain memaparkan kehidupan masyarakat Islam luar negara, mungkin selepas ini boleh juga dipaparkan mengenai kesan atau peninggalan tokoh ulama nusantara. Negara kita juga mempunyai tokoh Islam terkenal dan sumbangan yang mereka tinggalkan bukan saja kepada syiar Islam tetapi juga sebagai nasionalis, politik, pendidikan, sosial dan ekonomi.

Memang tidak salah untuk memaparkan perkembangan Islam sejagat kerana ia dapat memberikan perspektif baru kepada kita. Namun pada masa, stesen TV juga patut menerbitkan dokumentari Islam mengenai negara sendiri. Ini kerana negara kita sudah dikenali sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara Islam (OIC), hub pengeluaran produk halal, pengasas sistem perbankan Islam dan banyak lagi. Program dokumentari seperti ini juga sepatutnya bersifat semasa iaitu diterbitkan bukan semata-mata untuk mengisi slot pada bulan Ramadan semata-mata. Ini penting supaya program dokumentari seperti Jejak Rasul, Syahadah, Al-Risaalah atau Ziarah benar-benar memberi manfaat kepada penonton.

Sumber : Berita Harian
0 Komentar untuk "Tindakan stesen televisyen siar dokumentari Islam wajar dipuji"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info