Zarina warisi kuasa pontianak



KALAU dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2), Meriam terus 'menghantui' keturunan Marsani yang membunuhnya. Lain pula paparan diketengahkan drama Anak Pontianak.

Mempertaruhkan 13 episod, drama terbitan Pesona Pictures itu meneruskan kesinambungan PHSM2. Cuma, kali ini mengisahkan Meriam menurunkan kuasa kepada cicitnya, Mia.Melalui kuasa itu, Mia mengalami perubahan mendadak dalam diri. Pelbagai perkara pelik dialaminya termasuk sering berjaga malam dan menghilangkan diri di asrama. Bukan itu saja, Mia juga menghadapi ancaman daripada seteru Meriam. Keturunan Sukir Muluk yang memusuhi Meriam selama ini ingin memperoleh kuasa batu mulia milik Mia.Justeru, hanya ada satu cara mendapatkannya dengan membunuh Mia.
Apakah Mia akan dibunuh? Semuanya ada dalam Anak Pontianak yang mula disiarkan malam ini, jam 9.30 malam di TV3.Penerbitnya, Shuhaimi Baba berkata Anak Pontianak yang mengisi slot Seram di TV3 selepas drama Susuk diterajui bakat baru. Katanya memang dia mahu pelakon baru membintanginya."Malah, saya juga memberikan tanggungjawab mengarah drama ini kepada Ibrahim Elias. Saya yakin dengan kemampuan dan pengalamannya merealisasikan Anak Pontianak dengan baik."Setakat ini, sudah lapan episod disiapkan dan Alhamdulillah, semua pelakon menjayakan Anak Pontianak memberikan komitmen bagus. Kini, saya harap drama ini diterima penonton," katanya.Shuhaimi berkata Anak Pontianak juga memang dirancang diterbitkan dalam bentuk siri TV.
Katanya lebih-lebih lagi, ia drama pertama daripada Pesona Pictures untuk TV3. Sementara itu, Ibrahim mengakui sudah pasti cara arahannya dan Shuhaimi berbeza. Namun, dia sedaya-upaya memastikan Anak Pontianak dapat dihasilkan sebaik mungkin dan mudah difahami.
"Kalau PHSM dan PHSM2 lebih kepada golongan dewasa, Anak Pontianak pula tidak dinafikan tertumpu pada generasi muda. Oleh itu, penonton harus saksikan drama ini untuk tahu kesudahannya.
"Malah, menerusi drama ini juga penonton akan dapat jawapan apa yang 'tergantung' dalam PHSM2 lalu. Apa boleh saya katakan, Anak Pontianak drama menarik dan seronok ditonton."Walaupun cerita pada episod awal bergerak agak perlahan, tetapi bagi episod seterusnya penonton sentiasa hendak tahu perjalanan cerita sebenar drama ini," katanya.Kelmarin, diadakan majlis pelancaran Anak Pontianak di Restoran Bon Ton. Hadir sama pelakon drama itu seperti Zarina An-Julie yang membawa watak Mia, Kavita Sidhu (Linda), Rozie Rashid (Molin), Atie (AF1) dan Na'a Murad.Dalam Anak Pontianak, Maya Karin muncul sebagai penampilan istimewa. Wataknya menjelaskan kenapa Meriam memilih Mia sebagai 'waris pilihannya' untuk kuasai batu mulia.
Pelakon baru, Zarina An-Julie pula mengakui dia tidak sangka Shuhami memilihnya sebagai bintang utama Anak Pontianak. Katanya, Mia watak yang mencabar diberikan padanya."Mulanya, sukar bagi saya melakonkan watak Mia ini. Maklumlah, saya orangnya ceria dan periang. Tetapi, Mia memerlukan saya bersedih dan menangis. Memang susah sangat."Malah, saya juga membuat 'lagak ngeri' sendiri seperti terbang dengan wayar hingga mengalami cedera ringan. Apapun, saya berpuas hati kerana melakukannya sendiri.
"Selain itu, ketika menggunakan cecair merah dalam mata, pernah mata saya 'buta' sementara. Saya alah pada cecair itu yang menyebabkan mata saya tidak nampak dan membengkak," katanya.Bagaimanapun, gadis kacukan Scotland dan Melayu berusia 21 tahun ini berkata dia menitip semua itu sebagai pengalaman. Katanya, menjadi pelakon yang bagus perlu berani sanggup sahut cabaran.
Sumber : Metro
0 Komentar untuk "Zarina warisi kuasa pontianak"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info