'Shamsul macam abang sendiri' kata Danny

Sumber: Berita Harian

Oleh Farihad Shalla Mahmud


KASIH IBU: Norsiah menyuapkan kek ke mulut Danny sambil diperhatikan Fatimah.

Diana Danielle tolak ketepi soal cinta kerana mahu tumpu pelajaran

SERAUT wajah jelita miliknya kini semakin dikenali sejak drama lakonannya iaitu Janji Diana dan Air Mata Maria 'meletup' di layar kaca. Malah, populariti gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini bertambah menyerlah apatah lagi kisah 'cinta' yang mengaitkan dirinya dengan anak bujang Datuk Yusuf Haslam, Shamsul turut digembar-gemburkan media.

Namun, bagi si empunya diri, perjalanannya dalam bidang ini masih jauh andai hendak dibandingkan dengan pelakon popular lain. Dan paling penting, keutamaan sebenar model dan pelakon yang semakin meningkat naik, Diana Danielle adalah dalam bidang pelajaran kerana dia menyimpan hasrat untuk bergelar saintis satu hari nanti.


Justeru, pada majlis sambutan ulang tahun ke-16 yang diadakan di Borneo Rainforest Cafe, di Bandar Sunway, baru-baru ini, sebelum lilin yang menghias kek hari jadinya itu dihembus, ada sesuatu yang diharapkan si manis yang lebih mesra disapa Danny di kalangan teman rapatnya ini.

"Harapan saya sempena ulang tahun ke-16 ini adalah semoga rezeki saya dalam bidang seni sentiasa murah, ingin memantapkan lagi mutu lakonan serta berjaya mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan," kata Danny dalam nada yang ceria.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan acara itu ialah ibu kepada Shamsul, Datin Fatimah Ismail, pelakon Iqram Dinzly serta kenalan dan saudara terdekat.

Diana Danielle.

Melihat kepada fizikal anak gadis Norsiah Ramli ini, mungkin ramai yang tidak percaya bahawa usianya baru saja mencecah angka 16 tanggal 22 November lalu. Masih muda remaja.

Dan itulah juga yang ditekankan Danielle setiap kali pertanyaan mengenai cinta diajukan padanya. Barangkali sebuah jawapan selamat untuknya kerana tidak mahu bersoal jawab serta berdepan dengan tuduhan masih muda tetapi sudah berani bermain cinta.

Diajak berbicara soal cinta serta hubungannya dengan pengarah muda itu, Danielle nyata kurang selesa apabila perkara itu di bangkitkan.

"Siapa kata kami berdua bercinta. Saya tidak ada boyfreind. Saya juga tidak pernah memberitahu sesiapa yang saya adalah kekasih Shamsul. Tapi, saya tak nafikan, kami berdua memang rapat dan setiap kali saya ada masalah, selain mama, saya luahkan pada Shamsul. Memandangkan saya anak tunggal dan tidak ada abang, saya anggap dia macam abang saya sendiri," ujar Danny

MESRA: Iqram turut hadir memeriahkan hari jadi Danny.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, tumpuannya ketika ini lebih difokuskan terhadap pelajaran dan juga kerjaya manakala hal berkaitan peribadi, baginya biarlah ia datang di kemudian hari.

Perbualan kami terhenti seketika apabila Danny menerima panggilan telefon daripada Shamsul yang ketika itu berada di Bangkok atas urusan kerja.

Selepas beberapa minit melayan panggilan itu, Danny kembali meneruskan sesi temu bual itu. Ditanya apakah yang diperbualkan bersama buah hatinya itu, jujur dia menjawab, "Shamsul suruh saya jaga diri dan membesar baik-baik sikit," balas Danny.

Sedang rancak berbual, sekali lagi sesi temu bual kami dihentikan apabila ibu Shamsul pula ingin beredar dari majlis. Dari perbualan yang didengar, kononnya mereka akan berangkat ke Bangkok untuk bertemu Shamsul. Dan paling melucukan, sebaik saja terpandang pihak media, Fatimah selamba bersuara mengatakan pemergian mereka ke sana kerana anak bujangnya itu begitu merindui Danny.

Sudah terang lagi bersuluh dan nampaknya hubungan itu mendapat restu kedua-dua belah pihak. Dan komen gadis kelahiran Houston, Texas ini sebaik saja perkara itu dipersoalkan cukup ringkas iaitu, "Kami teman tapi mesra."

Tolak tawaran demi pelajaran

BIARPUN sibuk memenuhi tawaran berlakon dan penggambaran iklan, namun menurut Danny pelajaran tetap menjadi keutamaannya. Katanya lagi, dia juga tidak akan mengetepikan pelajaran semata-mata mengejar dunia glamor dan populariti. Justeru tidak hairanlah andai dia perlu menguruskan jadual hariannya supaya tidak bercanggah dan dia juga beruntung kerana ibunya turut membantu dari segi pengurusan masa.

"Apabila hari sekolah saya hanya menerima tawaran berlakon satu drama saja dan ia dilakukan pada hujung minggu atau sebelah petang.

"Saya juga tidak boleh terima tawaran jika penggambaran mengambil masa panjang kerana takut tumpuan pada pelajaran terganggu," kata pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara ini.

Danny berkata dia memberikan tempoh sehingga pertengahan tahun depan untuk dia bergiat aktif dalam bidang ini kerana selepas itu dia akan fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang.

Bercerita pengalamannya sebagai pelakon, model dan dalam waktu yang sama berdepan dengan buku pelajaran, Danny berkata kalau tidak kerana pengurusan masa yang betul, memang sukar untuk meneruskan hidup dalam bidang ini.

"Bayangkan, pagi hingga ke petang saya berada di sekolah, belumpun berehat dan tidak sempat menyiapkan kerja sekolah, saya terkejar-kejar ke lokasi penggambaran hingga awal pagi. Jadi, saya hanya tidur beberapa jam sehari, bagaimana saya mahu menumpukan perhatian pada pelajaran? Keluarga saya pula cukup mementingkan pelajaran," ujar Danny yang bakal muncul dalam drama bersiri Janji Diana untuk musim keempat.

Mengenai filem baru, Danny berkata dia baru saja mendapat tawaran memegang watak utama dalam sebuah filem seram. Bagaimanapun, dia tidak dapat menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut atas sebab-sebab tertentu.

Ditanya antara lakonan dan iklan, yang mana menjadi pilihannya, Danny memilih iklan kerana pendapatan yang diterima lebih lumayan.

"Namun, lakonan tetap dalam jiwa saya kerana itu adalah minat saya sejak dulu lagi," kata Danny yang terpilih menjadi wajah pewangi terbaru Avon, keluaran syarikat kosmetik gergasi itu.

INFO:

  • Nama Penuh: Diana Danielle
  • Panggilan: Danny
  • Tarikh Lahir: 22 November 1991
  • Tempat Lahir: Houstan Texas, Amerika Syarikat.
  • Umur: 16 Tahun
  • Tinggi: 5 kaki 7 inci
  • Berat: 52 kg
  • Drama: Sembilu, Janji Diana dan Air Mata Maria
  • Filem: Malaikat Maut, Idola dan Evolusi KL Drift

0 Komentar untuk "'Shamsul macam abang sendiri' kata Danny"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info