PEMILIHANNYA sebagai duta terbaru jenama jam mewah, TAG Heuer sememangnya cukup tepat. Berbekalkan kejelitaan dan kebijaksanaan yang dimilikinya, rasanya, tiada siapa yang mampu untuk menafikan keputusan itu.
Maya Karin Roelcke atau Maya Karin mengakui dia cukup berbangga apabila dipilih menjadi duta jenama mewah itu apatah lagi kini dirinya sebaris dengan duta jam tersebut, antaranya Brad Pitt, Uma Thurman, Tiger Woods, Shah Rukh Khan, Maria Sharapova, Lewis Hamilton dan Zhang Ziyi.
“Apabila mereka menghubungi saya untuk memberitahu saya terpilih untuk menjadi duta mereka, saya tergamam dan hampir tidak percaya.
“Mana tidaknya, jenama TAG Heuer sudah menjadi idaman saya sejak kecil lagi. Malah, selalu saya mengimpikan seutas jam tangan tersebut terletak di tangan saya.
“Lagipun, saya memang tidak suka memakai jam tangan yang mempunyai muka yang kecil kerana tidak sesuai dengan jiwa saya. Dek kerana itu, saya suka memakai rekaan yang sporty kerana rekaannya yang begitu sesuai dan serasi dengan saya yang lasak dan bersedia menyahut cabaran.
“Apabila sudah bergelar pelakon pun, saya tidak berkesempatan untuk memilikinya. Namun kini, semua mimpi saya menjadi kenyataan dan saya bersyukur dengan rezeki ini. Bukan itu sahaja, saya juga berbangga kerana menjadi artis Melayu pertama menjadi duta TAG Heuer,” jelasnya sewaktu ditemui pada satu temuramah khas di Hotel Westin, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Katanya, pihak TAG Heuer telah menghadiahkannya enam utas jam tangan termasuk dua model terbaru iaitu Formula One Glamour yang turut dipakai oleh pemain tenis wanita terkenal, Maria Sharapova dan Grand Carerra.
Menjadi duta TAG Heuer selama setahun bermula 1 November lalu, sudah pasti bayaran yang diterima si jelita ini juga secantik jenamanya. Dengan tersenyum manja, Maya memberitahu: “Biarlah ia menjadi rahsia saya.”
Pemilihan Maya Karin itu juga menjadikannya sebagai artis Malaysia ketiga selepas Alex Yoong dan Asha Gill dipilih menjadi duta jenama itu.
Bercerita tentang rancangannya bersama TAG Heuer, wanita berusia 28 tahun ini memberitahu, jika segalanya berjalan dengan lancar, berkemungkinan besar dia akan ke Perancis tahun hadapan menghadiri satu acara yang melibatkan sukan perlumbaan motor.
Dalam meniti usia sedekad menjadi anak seni, dirinya juga tidak pernah terlepas dari kontroversi dan kritikan yang menjadikannya lebih kuat mengharungi dunia seni yang penuh cabaran ini.
Terbaru yang didengari, khabarnya, Maya Karin dan seorang lagi pelakon wanita yang membintangi filem Anak Halal, Fasha Sandha dikatakan tidak sebulu selepas berlakunya satu insiden tidak berapa lama dulu.
“Mana anda dengar cerita ini? Saya rasa saya tiada ada masalah dengan Fasha Sandha. Semua cerita itu tidak betul. Tiada. Malah, saya juga bersedia untuk mengikuti promosi filem Anak Halal dengan semua pelakon. Jadi, isu itu tidak timbul,” katanya tegas.
Bercerita tentang wataknya sebagai tomboy bernama Johanna dalam filem yang dikatakan filem terbaik 2007 itu, Maya menjelaskan, ia memberi kepuasan dan satu pembaharuan dalam kariernya.
“Saya memberi sepenuh jiwa saya untuk watak Johanna. Malah, saya juga tampil tanpa sebarang solekan ke atas wajah saya dan sanggup memotong rambut saya sebanyak empat inci.
“ Malah, pakaian saya dalam filem itu cukup ringkas. Saya harap apabila ia ditayangkan pada 13 Disember kelak, penonton akan datang ke panggung untuk menontonnya,” jelasnya yang murah dengan senyuman itu.
Tambahnya lagi, dia bersyukur apabila tahun 2007 memperlihatkan tiga filem lakonannya mencapai kejayaan yang membanggakan.
“Waris Jari Hantu, 1957 Hati Malaya dan Anak Halal semuanya mencatatkan kejayaan. Saya berasa gembira kerana terlibat dengan filem-filem itu dan saya mengharapkan tahun hadapan juga akan menjadi sebaik atau lebih baik dari tahun ini,” ujar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 ini lagi.
Tahun hadapan, Maya akan muncul dengan filem Duyung yang merupakan arahan Profesor Madya A.Razak Mohaideen dan sebuah filem yang berjudul Setem arahan Khabir Bhatia.
“Filem Setem itu akan menjalani penggambaran sekitar Januari atau Februari nanti. Pelakonnya adalah Afdlin Shauki dan Rashidi Ishak. Saya begitu teruja untuk beraksi dalam filem ini nanti,” katanya.
Adakah Maya akan beraksi untuk kali kelima dalam filem arahan Shuhaimi Baba selepas Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2, Waris Jari Hantu dan 1957 Hati Malaya?
Jawapannya: “Setakat ini, Shuhaimi Baba tidak ada menceritakan apa-apa pada saya tentang perancangan filem terbarunya untuk tahun hadapan.”
Apabila ditanya tidak teringinkah berlakon drama atau sememangnya Maya menganggap dirinya begitu eksklusif yang hanya mahu wajahnya ditonton di layar lebar.
“Bukannya saya tidak mahu berlakon drama, tetapi jadual saya begitu padat. Bayangkan, setiap filem saya akan menjalani penggambaran hampir dua bulan. Jika saya berlakon tiga buah filem, maka, sudah enam bulan habis untuk filem sahaja. Jangan risau, bila sampai waktunya nanti, saya akan berlakon drama,” jelasnya yang sudah muncul dalam tiga episod drama bersiri, Anak Pontianak yang ditayangkan setiap Khamis, pukul 9.30 malam di TV3.'
Biodata Maya Karin
Nama penuh: Maya Karin Roelcke
Nama komersil: Maya Karin
Tarikh lahir: 29 Oktober 1979
Tempat lahir: Bayreuth, Jerman
Umur: 28 tahun
0 Komentar untuk "Maya Karin bangga duta Tag Huer"