Aznil ada sebab untuk bersedih


Aznil Nawawi ada sebab untuk merasakan kehilangan temannya, Allahyarham Din Beramboi.



AZNIL NAWAWI ada sebab yang paling munasabah untuk terlalu merasakan kehilangan Din Beramboi yang kembali mengadap Ilahi awal pagi 2 April lalu.
Dalam seminggu, lima hari Aznil akan ditemani Din selama lapan jam - empat jam dalam konti radio Era dan selebihnya pula menghadiri mesyuarat serta sesi perbincangan selepas bertugas.
Rutin kehidupan Aznil dan Din selama setahun setengah bermula seawal pukul 5 pagi.
Ketika orang lain masih tidur, pasangan yang mengendalikan segmen Riuh Pagi Di Era itu sudah berada di konti radio Era di pusat penyiaran Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sebelum bersiaran pukul 6 pagi, Aznil dan Din akan berbincang mengenai topik perbualan untuk hari berkenaan selain mengumpul idea-idea humor bagi menghiburkan hati pendengar stesen radio popular itu.
Kegembiraan, keceriaan dan keserasian pasangan penyampai radio popular itu ketika ke udara menarik perhatian pendengar yang bukan sedikit.
Aznil dan Din menempa kemasyhuran hanya kerana segmen Riuh Pagi Di Era mencatat rekod pendengar yang tinggi setiap pagi.

Namun segala-galanya sudah tertulis di loh mahfuz. Hayat Din di muka bumi hanya untuk seketika.
Dia pernah datang dalam hidup kita membawa ketawa. Jumaat lalu dia pergi mengundang tangis yang terlalu memilukan bukan saja kepada isteri dan anak-anak bahkan rakan-rakan rapat termasuk Aznil.
Sebaik mendapat berita sedih itu pada pukul 1 pagi, saya bergegas ke Hospital Selayang untuk menatap wajah Din buat kali terakhir.
Selang beberapa minit, kelihatan kelibat Aznil di hospital berkenaan. Dari jauh saya memerhati wajah Aznil sangat sugul.
Ketika saya menyapa, Aznil dalam nada sebak memeluk saya - reaksi spontan itu menterjemahkan betapa sedihnya dia... terlalu sedih sebenarnya.
Saya sekadar menenangkannya memintanya agar bersabar dan terus mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah.
Semua yang ada di hospital berkenaan tempoh hari menyedari Aznil antara orang yang rapat dengan Allahyarham.
Aznil pastinya mengenali karakter lelaki itu kerana mereka berjumpa setiap hari. Mereka bergurau, bertukar pendapat, berkongsi perihal kehidupan atau mungkin juga 'bertengkar' seperti sahabat karib yang lain.
Ada ketika masa yang dihabiskan oleh Aznil bersama Din jauh lebih lama berbanding masa dengan keluarganya.
"Saya amat merasakan kehilangannya. Sebelum arwah jatuh sakit, kami sudah merancang untuk menghabiskan cuti tahunan bermula 1 April lalu.
"Beberapa hari menjelang 1 April, arwah asyik bergurau menyatakan rasa tidak sabarnya untuk bercuti panjang dan barangkali cuti panjang yang dimaksudkan arwah ialah pergi buat selama-lamanya," kata Aznil penuh sebak.
Air mata yang bergenang sepanjang perbualan itu turut membawa Aznil berkongsi betapa dia sangat akrab dengan arwah sehinggakan setiap teguran diambilnya secara positif.
"Saya sudah seperti abang buatnya... apa saja yang saya tegur dan kritik untuk kebaikan kariernya diterimanya dengan hati yang sangat terbuka," kata Aznil.
Biar bagi sesetengah pendengar lawak jenaka Din ada ketika seperti kasar namun itu bukan isu buat Aznil. Bagi Aznil, itulah sifat arwah Din yang dikenalinya lebih 15 tahun.
"Hatinya sangat luhur. Dia begitu menyayangi isteri dan anak-anaknya. Dia juga sangat mesra dan peramah," Aznil menggambarkan peribadi Din atau nama sebenarnya Mior Ahmad Mior Badri.
Ketika ini, yang menjadi tanda tanya di kalangan pendengar ialah siapa yang akan menggantikan Din Beramboi?
Mampukah Aznil meneruskan tugasnya selepas teman yang menjadi inspirasi dan tulang belakang kejayaan segmen pagi di Era pergi buat selama-lamanya?
"Semua itu belum terlintas di fikiran saya. Apa yang menjadi harapan saya ialah semoga seluruh rakyat Malaysia akan mengenang Din Beramboi sebagai penghibur terbaik yang pernah dilahirkan industri hiburan.
"Doa saya semoga Allah merahmati rohnya dan meletakkannya di sisi orang-orang yang beriman," luah Aznil sambil memandang jauh mengenang semula momen-momen manis yang pernah dilaluinya bersama seniman bernama Din Beramboi.

Sumber : Utusan Online
0 Komentar untuk "Aznil ada sebab untuk bersedih"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info