RIAK wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup menggambarkan dia sedang menjalani kehidupan yang benar-benar menjadikannya seorang wanita sempurna.
Senyuman dan ketawa yang tidak lekang dari wajah mulusnya itu membuktikan pelakon kulit gebu,Zizie Ezette, 32, cukup bahagia dengan statusnya sebagai seorang isteri.
Meskipun pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, 51, telah mencetuskan perdebatan dan polemik, Zizie enggan ambil pusing tentang perkara itu.
Cuma, Zizie memohon kepada semua pihak agar untuk hentikan menyebar berita yang kurang manis berhubung rumah tangganya kerana tidak mahu ada pihak yang terluka lagi.
Aktres popular itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan dia kini satu-satunya isteri Bung Mokhtar selepas wakil rakyat itu dikatakan telah menceraikan isteri pertamanya.
"Cukup-cukuplah memperkatakan dan mensensasikan kisah rumah tangga kami. Jujurnya, keadaan semuanya telah dan berjalan dengan baik sekali. Saya tidak mahu cerita sebegini akan mengeruhkan kembali keadaan.
"Jika ada yang berterusan mahukan komen saya lagi selepas ini tentang madu saya, minta maaf kerana saya tidak akan menjawabnya. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Apa yang boleh saya katakan, semuanya dalam keadaan yang baik," katanya berkali-kali lalu mematikan terus topik hangat itu.
Zizie berkata demikian ketika ditemui pada malis rumah terbukanya yang diadakan di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, malam Sabtu lalu.
Kehadiran dua orang anak Bung Mokhtar pada majlis itu sekali gus membuktikan mereka memang tidak mempunyai sebarang masalah apabila masing-masing begitu mesra antara satu sama lain.
Apabila diminta untuk bergambar bersama, Zizie dengan penuh diplomasi menolaknya dengan mengatakan biarlah dia dan suaminya sahaja yang menjadi titik tumpuan pada malam itu.
Bagi Zizie, apa yang penting buatnya kini adalah untuk meneruskan perjalanan hidupnya bersama suami tercinta yang benar-benar membuatkannya bersyukur dengan kurniaan Yang Maha Esa.
"Alhamdulillah, selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga, terasa hidup saya begitu lengkap dengan adanya seorang suami di sisi. Tidak pernah saya membayangkan kebahagiaan yang saya kecapi seperti hari ini.
"Saya harus akui kehidupan saya sekarang memang sudah jauh berbeza ketika saya bujang dulu. Sekarang saya harus menumpukan fokus kepada suami dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa buat masa ini," luah Zizie jujur.
0 Komentar untuk "Zizie dan Bung Kini Bahagia"