Debaran Anugerah Skrin (ASK2010) Semakin Dirasai

DEBARAN kian dirasai dan terasa pantas masa berlalu apabila Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) telah pun menuju ke destinasinya.


Malam ini, ASK2010 akan mencatatkan satu lagi sejarah dalam direktori penganjuran anugerah yang dianggap cukup berprestij itu.


Ramai yang sudah mula berteka-teki dan membuat andaian siapakah yang akan naik ke pentas untuk menerima trofi yang menjadi idaman karyawan seni tempatan itu.

Malah, peminat hiburan sendiri turut merasai debaran itu dan sudah tidak sabar lagi untuk melihat mereka yang bertuah akan menjulang kejuaraan pada malam ini.

Selama empat hari berturut-turut, Hits telah membawa pembaca setia melihat barisan pelakon yang berpotensi besar akan dicalonkan sekali gus memenangi trofi ASK.

Sebagai penutup, hari ini Hits akan meramal mereka dilihat mampu menerobosi senarai pencalonan dalam empat kategori utama yang menjadi perhatian saban tahun.

Ia termasuklah Pengarah Drama Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Drama Terbaik dan Filem Terbaik.

Untuk kategori Drama Terbaik, antara calon-calon yang dilihat layak untuk menduduki senarai lima terbaik adalah Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Dalil Cinta, Kaki, Perempuan dan Taubat Nasuha.

Kalau disebut tentang drama, genre drama berat sering kali menjadi perhatian kerana mesej dan jalan cerita yang cukup menarik.

Tahun lalu, drama Tersasar Di Jalanmu yang mempunyai plot cerita yang cukup berat menjadi pilihan juri sehingga mampu menang besar pada ASK2009.

Seperti mana kata pihak penganjur, mereka sendiri tidak pernah meletakkan sebarang kriteria tertentu dalam memilih pemenangnya.

Semuanya terserah kepada pihak juri untuk menilai dengan bijak setiap karya yang dipertandingkan.

Related Post

0 Komentar untuk "Debaran Anugerah Skrin (ASK2010) Semakin Dirasai"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By Catatan Info