BUKAN saja penonton berendam air mata di pawagam dan kutipan filem melebihi RM10 juta, watak Izzah dalam filem Ombak Rindu arahan Osman Ali juga meninggalkan kesan cukup mendalam pada jiwa aktres popular, Maya Karin.
Ternyata, watak Izzah dilakonkan itu masih sebati dalam diri pelakon kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu sampai saat ini. Malah, kerana kekuatan watak Izzah dalam filem adaptasi novel terlaris, karya Fauziah Ashari jugalah nama Maya tercalon dalam Top 5, kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011).
Begitulah hebatnya penangan watak Izzah di hati penonton. Dalam kategori itu, Maya bersaing secara sengit dengan empat lagi pelakon lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Eja (filem Janin), Diana Danielle (....Dalam Botol), Lisa Surihani (Ombak Rindu) dan Yana Samsudin (Bini-Biniku Gangster dan Kongsi).
Secara peribadi, Maya sangat bersyukur kerana tercalon dalam kategori berkenaan.
“Saya juga tidak fikir sangat soal kalah atau menang. Apa yang penting buat saya ialah ‘Izzah’ tersenarai antara lima yang terbaik dalam ABPBH kali ini dan nama saya masih bertakhta di hati peminat.
“Maklumlah, saya sudah tercalon dalam kategori sama, sejak 2003 dan menang sebanyak dua kali iaitu pada 2005 dan 2008. Sebenarnya, soal siapa yang akan menang ini susah nak cakap kerana setiap artis mempunyai kelebihan tersendiri.
“Saya juga tidak berani cakap atau ramal siapa yang akan menang kerana lebih suka melihat semua calon bertanding secara sama rata. Kalah atau menang, saya lebih suka serahkan pada peminat untuk menilainya kerana ia bergantung pada undian mereka,” katanya.
Bagaimanapun, akui Maya, dia sangat gembira melihat pencalonan pelakon senior seperti Eja dan pelakon muda Yana dalam tersenarai dalam kategori Top 5, ABPBH 2011.
“Melihat pencalonan Eja, saya berasa gembira kerana ada artis berpengalaman tercalon sama. Saya memang sokong dengan pencalonan artis senior dan duduk sebaris dalam kelompok artis yang popular kerana tidak semestinya, artis muda saja yang popular.
“Selain itu, saya juga sudah kenal Yana sejak usianya belasan tahun lagi. Pada pandangan saya, Yana, artis yang berbakat besar dan pencalonan itu bagus buatnya berpengalaman berada dalam kelompok kami,” katanya.
Apapun, Maya mengakui sangat bertuah kerana produser filem Ombak Rindu, Sharad Sharan yang memberi kepercayaan dan peluang padanya untuk memegang watak Izzah berkenaan.
“Pada peringkat awal pemilihan saya dulu, ramai pihak yang komen dan pertikai pemilihan saya bawa watak Izzah kerana mereka fikir watak itu layak buat Lisa Surihani.
“Bila timbul cerita seperti itu, saya beritahu Osman untuk pertimbangkan semula kerana saya tak mahu filem itu rugi nanti. Saya pun ragu-ragu nak bawa watak Izzah ketika itu dan saya tak kisah kalau bawa watak yang dipegang Lisa pun. Tetapi Sharad tetap tegas dengan keputusannya itu dan sangat berterima kasih pada produser,” katanya.
Walaupun filem Ombak Rindu sudah masuk Astro First, Maya sukar untuk melupakan watak Izzah itu.
“Watak Izzah adalah wanita naif yang berjiwa kental. Di sebalik kelembutan wajahnya tersembunyi kekuatan yang luar biasa.
“Saya tetap tidak dapat lupakan watak Izzah sampai bila-bila walaupun berlakon dalam filem lain selepas ini. Saya dapat tahu, filem Ombak Rindu hangat diperkatakan di Astro First ketika ini,” katanya.
Filem Ombak Rindu terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) dan Tarantela Pictures Sdn Bhd menggandingkan Maya bersama pelakon kacak Aaron Aziz dan Lisa. Selain itu, ia dijayakan Bront Palarae, Zaidi Omar, Julia Ziegler, Normah Damanhuri, Nadia Nisaa dan Kamarool Yusof.
Selepas Ombak Rindu, Maya kini menanti filem lakonannya, Lagenda Budak Setan 2 pula ditayangkan di pawagam tahun ini. Selain itu, dia sibuk menjayakan tiga projek iklan dan duta produk iaitu Inner Shine, L’Oreal dan projek khas dengan kerajaan iaitu iklan 3D yang pertama seumpamanya di Asia.
Berkongsi pencapaiannya lebih sedekad dalam bidang seni, penyanyi, pengacara dan duta produk ini sendiri tidak menyangka masih bertahan sampai hari ini.
Sepanjang berkecimpung dalam bidang seni, pelbagai anugerah sudah diraihnya iaitu Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH2005) dan Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.
“Saya masih ingat lagi, mula-mula berlakon dulu, ada orang cakap, saya hanya boleh berada dalam bidang seni tidak lebih dari lima tahun saja. Namun, ia sebaliknya bila saya masih diterima peminat sampai hari ini. Saya juga melihat perjalanan karier saya naik secara perlahan-lahan ‘slow and steady’.
“Bagi mengembangkan lagi karier seni, saya juga ingin kurangkan cerita peribadi tahun ini kerana ingin lebih fokus pada bidang seni. Bukannya saya takut dengan gosip atau kontroversi kerana sudah lali dengan semua itu sejak berkecimpung dalam bidang seni. Selain itu, saya juga ingin kembali gigih bekerja kerana banyak berehat pada tahun lalu,” katanya.
7 perkara mengenai Maya Karin
Filem terakhir yang buat anda menangis
Seabiscuits
Sifat lelaki yang tak disukai
Lelaki yang sombong
Kereta mewah idaman
Audi Q7
Aktor Hollywood yang menjadi idola
Leonardo Dicaprio
Warna yang tidak disukai
Hijau pucuk pisang
Haiwan yang paling ditakuti
Cicak
Destinasi percutian idaman
Mesir
0 Komentar untuk "Cerita Terbaru Maya Karin Selepas Ombak Rindu"