Tiket Cuci the Musical 2 laris



Awie (dua dari kiri) dan Nabil (dua dari kanan) berjenaka pada sidang akhbar Cuci the Musical 2 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.




BIAR berdepan dengan masalah ketiadaan penaja pada peringkat permulaan, Hans Isaac mampu tersenyum puas dan bangga apabila kejayaan terus berpihak kepada Cuci the Musical (CTM).

Memang pada awalnya, penjualan tiketnya bermula dengan perlahan tetapi berkat maklum balas positif daripada pihak media dan buah mulut orang ramai, tiket CTM terus laris dijual bagai pisang goreng panas.

Sebagai penerbit, Hans mahu melihat CTM menjadi satu tanda aras baru dalam penerbitan teater muzikal kontemporari di negara ini.

Lebih-lebih lagi, selepas ia diiktiraf dengan tiga anugerah pada Anugerah Seni BOH Cameronian baru-baru ini termasuk Pelakon Utama dan Pelakon Pembantu Terbaik untuk Awie dan Adibah Noor.

CTM turut menerima Anugerah Pilihan Penonton Kakiseni (Teater Muzikal) sekali gus membuktikan perjuangan Hans itu mendapat sokongan padu daripada penggemar teater.

Atas dasar itu, Hans lebih optimis dan berkeyakinan untuk mementaskan CTM sekali lagi untuk musim kedua (CTM2).
Bermula semalam (27 Julai) sehingga 9 Ogos ini, Panggung Sari, Istana Budaya (IB), akan digamatkan sekali lagi dengan kehadiran empat sekawan yang pastinya membuatkan penonton tidak kering gusi dengan telatah mereka.
Jelas Hans, banyak perubahan dilakukan terutama dari segi jalan ceritanya untuk memberikan sesuatu yang lebih segar dan baru kepada audiens.

NABIL (kanan) melahirkan rasa bertuah apabila dapat membintangi Cuci the Musical 2 di samping Awie, Hans Isaac dan Afdlin Shauki.
Begitu juga dengan elemen komedi yang diberi suntikan yang lebih untuk musim kedua agar ia menjadi tontonan yang lebih menghiburkan berbanding musim pertama.

Namun, tiada apa yang lebih mengujakan Hans apabila tiket-tiket untuk musim kedua ini semakin laris jualannya setiap hari.

Sebelum CTM2 membuka tirainya semalam, Hans memberitahu, tiket untuk 11 persembahan daripada 17 persembahan sepanjang musim ini kesemua telah habis dijual.
0 Komentar untuk "Tiket Cuci the Musical 2 laris"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info