Bubarkan semua persatuan artis
Apakah alasan Datuk menggesa semua persatuan artis dibubarkan dan hanya bergabung dalam sebuah persatuan sahaja?
Freddie Fernandez: Jawapan saya mudah sahaja iaitu untuk tujuan penyatuan. Selama ini kita ada banyak persatuan seperti Karyawan, Seniman (Persatuan Seniman Malaysia), Papita (Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik), Persatuan Artis Cina dan IRIM (Persatuan Industri Rakaman India). Kalau cadangan saya ini diterima, saya juga akan memastikan agar Karyawan juga dibubarkan. Apabila semua persatuan itu dibubarkan, maka kita buka peluang itu untuk semua ahli persatuan tersebut menubuhkan sebuah persatuan baru. Ketika itu mereka boleh pilih siapa pemimpin mereka. Sekarang ini artis-artis berpecah-belah dalam persatuan yang berbeza-beza. Sayangnya, ada persatuan artis yang tidak aktif atau hidup segan mati tidak mahu. Jadi, bagaimana persatuan seperti itu mahu membela kebajikan dan nasib ahli-ahlinya? Sebab itulah, apabila ada hanya sebuah persatuan artis maka barulah kita semua boleh bersatu padu dan kuat. Ia secara tidak langsung akan menjadi kekuatan kita untuk menyuarakan apa-apa juga kepentingan atau masalah yang timbul. Ketika itu, barulah mudah untuk kita menyampaikan semua perkara itu sehingga ke peringkat yang tertinggi termasuklah pihak kerajaan.
Tidakkah idea Datuk itu akan mengundang rasa tidak puas hati kepada persatuan-persatuan lain yang sudah lama ditubuhkan?
Saya rasa isu itu tidak timbul kerana saya yakin semua ahli Karyawan juga bersetuju dengan cadangan saya itu. Begitu juga dengan ahli-ahli persatuan lain, apatah lagi bagi persatuan- persatuan artis yang tidak aktif. Ini kerana, gesaan saya itu bukan sahaja terhadap persatuan-persatuan artis lain tetapi termasuk juga Karyawan. Niat saya satu sahaja iaitu untuk penyatuan. Kalau selama ini Karyawan aktif dengan pelbagai aktiviti kebajikan untuk ahli-ahlinya. Maka, saya yakin apabila semua artis bergabung dalam sebuah persatuan ia akan menjadi lebih aktif dan teratur. Sebab itu, tidak timbul isu rasa tidak puas hati dan sebagainya. Malah, saya juga sanggup meletakkan jawatan saya sebagai Presiden Karyawan serta merta jika saranan saya agar semua persatuan artis dibubarkan. Saya juga tidak mahu bertanding apa-apa jawatan dalam usaha menubuhkan persatuan yang baru itu nanti.
Apa komen Datuk apabila ada artis yang ragu-ragu dalam usaha ini, malah ada yang mencadangkan ditubuhkan sebuah persatuan atau koperasi seperti Koperasi Penggiat Tanah Air atau Kopstar baru-baru ini?
Dalam hal ini, ramai artis yang masih ragu-ragu kerana mereka seperti keliru dengan fungsi persatuan yang mereka sertai. Mereka seperti memandang remeh akan fungsi persatuan yang mereka sertai selama ini apatah lagi selepas mendapati tidak banyak perkara yang dilakukan bagi menjaga hak dan kebajikan mereka. Sebab itulah saya menyarankan agar ditubuhkan sebuah persatuan baru yang dipilih sebulat suara oleh golongan tersebut. Kita mahu buka buku baru. Biarlah kali ini pemimpin yang akan memimpin persatuan itu mereka yang benar-benar layak dan ikhlas memperjuangkan kebajikan ahli-ahlinya. Kita tidak mahu pemimpin yang menggunakan persatuan untuk kepentingan peribadi. Ini kerana, fungsi persatuan ialah bagi membela nasib dan kebajikan ahli-ahlinya. Dalam isu Kopstar yang disuarakan oleh penyanyi Ziana Zain dalam Forum Himpunan Bersama Bintang 2011 anjuran akhbar Kosmo di Kuala Lumpur baru-baru ini ia jelas tidak relevan. Kita harus faham koperasi dan persatuan dua perkara yang berbeza. Kita tidak mahu adanya Kopstar yang dilihat seolah-olah cenderung kepada kepentingan individu semata-mata.
Apakah usaha Datuk bagi merealisasikan penubuhan hanya sebuah persatuan artis di negara ini?
Sebagai permulaan, saya dan ahli-ahli Karyawan akan menjalankan kempen kesedaran buat semua artis akan peri pentingnya bergabung di bawah satu persatuan. Kami bercadang mengadakan beberapa forum dan perjumpaan bagi menjelaskan perkara tersebut. Dalam usaha ini, kami akan meminta kerjasama pihak media massa terutamanya syarikat-syarikat akhbar dan majalah bagi menyokong usaha ini. Apabila sudah ada kefahaman dan kesedaran itu, maka saya yakin ramai artis yang akan menyokong penubuhan satu persatuan ini. Apabila semuanya berjalan lancar, kita akan beri masa dan tetapkan satu tempat dan waktu bagi mengumpulkan semua artis. Ketika itu kita akan buat pemilihan dalam banyak aspek termasuklah siapakah yang akan memimpin persatuan itu. Kita jalankan pemilihan itu secara terbuka dan mengikut sistem demokrasi.
Apa kata jika usaha Datuk ini tidak mendapat sokongan daripada artis-artis?
Dalam hal ini, kita tidak akan memaksa mana-mana artis yang tidak setuju untuk bergabung dalam sebuah persatuan. Ataupun mereka lebih selesa untuk tidak diwakili mana-mana persatuan. Namun, dalam hal ini apabila penubuhan satu persatuan itu direalisasikan saya mahu pihak media massa membantu kita. Kalau boleh keutamaan publisiti yang hendak diberikan itu mestilah kepada artis-artis yang menjadi ahli dalam persatuan baru itu nanti. Mereka (ahli) juga akan diberikan kad keahlian sendiri di mana apabila mahu berurusan dengan media massa termasuklah wartawan mereka haruslah menunjukkan kad tersebut. Cara itu akan menggalakkan mereka menjadi ahli persatuan itu. Cara itu akan menjadi lebih teratur dan kita akan lebih memberi keutamaan kepada golongan terbabit.
Di sini, ia membuktikan berlakunya pertindanan fungsi sesebuah persatuan itu. Sebab itulah perlunya kita ada hanya sebuah persatuan. Di bawahnya nanti kita boleh wujudkan biro-biro sendiri misalnya yang mewakili penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya.
Akhir sekali apakah harapan Datuk dalam usaha merealisasikan penubuhan persatuan baru itu nanti?
Saya harap usaha ini akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini. Sudah sampailah masanya semua artis tanpa mengira apa juga profesyen agar bersatu dalam sebuah persatuan. Kalau kita bersatu dan mempunyai wakil ia akan memudahkan kita menyalurkan segala masalah kepada pihak kerajaan seperti Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Tetapi masalahnya sekarang pihak kerajaan pun sukar untuk membantu kerana artis-artis kita tidak bersatu padu dan ada banyak persatuan. Akhir sekali, saya anggap penubuhan persatuan baru itu sebagai langkah awal kita bersatu dan menyelesaikan apa juga isu lama serta baru yang timbul dalam industri hiburan di negara ini.
0 Komentar untuk "Bubarkan semua persatuan artis"