Cinta Henry di Malaysia

MESKIPUN sebahagian besar hidupnya dibesarkan di Surrey, England, namun jauh di sudut hati jejaka kacak ini, Malaysia tetap bertakhta di hatinya.

Dilahirkan di Betong, Sarawak, bapanya keturunan Inggeris dan ibunya seorang wanita Iban, tidak hairan mengapa Henry Golding tidak boleh memisahkan dirinya dengan Malaysia.

"Bagi saya, Malaysia mempunyai nilai sentimental tersendiri. Apatah lagi saya pernah tinggal di Dungun, Terengganu dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Itulah yang menyebabkan Malaysia begitu dekat di hati saya.

"Apabila kembali ke negara ini tiga tahun lalu, saya mahu terus menyelongkar dan menerokai apa yang saya tertinggal selepas saya berhijrah ke England.


"Jangan terkejut kalau saya katakan antara makanan kegemaran saya adalah tempoyak dan ulat sagu yang terdapat di Sarawak," katanya dalam loghat British yang sangat pekat.

Henry ditemui pada pelancaran program Without Boundaries - Islands & Beaches terbitan stesen televisyen 8TV di Fullhouse, Sunway Giza, Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Without Boundaries - Islands & Beaches merupakan kesinambungan daripada program bercorak pengembaraan, Welcome To The Rail World yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penonton stesen itu.

Sekadar berkongsi sejarah hidupnya, Henry menjelaskan sejak usianya empat tahun, keluarganya telah berpindah ke Dungun.

Di sanalah kata Henry, dia sempat menikmati zaman kanak-kanak seperti rakan sebaya yang lain dan juga melalui zaman sekolah rendah sehingga darjah tiga.

Selepas itu, dia mengikut keluarganya pulang ke England dan selepas 15 tahun, barulah Henry mendapat peluang balik ke Malaysia.

Atas alasan itu jugalah, apabila dtawarkan 8TV untuk mengacarakan Without Boundaries - Islands & Beaches, Henry menganggapnya sebagai peluang terbaik untuk terus menyelami keindahan Malaysia.

"Apa yang boleh saya katakan, segala-galanya tentang Malaysia adalah fantastik. Banyak perubahan yang telah berlaku sepanjang ketiadaan saya di sini.

"Sewaktu krew produksi memberitahu salah sebuah destinasi yang akan dikunjungi untuk program ini adalah Terengganu, saya benar-benar teruja.

"Meskipun ada sebahagian tempat telah berubah, tetapi memori yang pernah terpahat masih lagi kekal di sana," ceritanya penuh bersungguh.

Antara lokasi yang sempat dikunjungi Henry dan dimuatkan dalam program tersebut ialah rumah yang pernah didiami Henry dan keluarganya.

Tidak ketinggalan, Henry juga menggunakan peluang keemasan itu untuk mengunjungi semula sekolah lamanya selain bertemu dengan beberapa individu yang ternyata masih lagi mengingati Henry.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu chef yang saya kenali iaitu Chef Ann masih lagi bekerja di tempat yang sama di Tanjong Jara, Terengganu. Dulu dia hanya seorang chef tetapi kini dia sudah dinaikkan pangkat sebagai seorang ketua chef.

"Apa yang membuatkan saya terharu apabila beliau masih lagi kenal dan ingat muka saya ini," cerita Henry yang mula dikenali sebagai pengacara program 8TV Quickie ini sambil ketawa kecil.
0 Komentar untuk "Cinta Henry di Malaysia"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info