Dana yang kerajaan bagi juga perlu untuk bantu pelajar perfileman
Pengajian dalam bidang perfileman seperti pengarahan dan penulisan skrip semakin banyak ditawarkan di Institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dan ia semakin popular sejak kebelakangan ini.
Hampir 20 IPTA dan 100 IPTS menawarkan bidang yang berkaitan perfileman seperti penerbitan filem pendek, animasi serta dokumentari.
Perkembangan itu dapat dilihat menerusi program Forum Karyawan Filem Muda 2011 (YFF 2011) anjuran Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.
Forum itu disertai 804 pelajar dari 23 IPTA dan IPTA seluruh negara. Namun, jumlah itu tidak sampai separuh daripada keseluruhan mereka yang mengikuti bidang berkaitan perfileman di negara ini.
Forum yang pertama kalinya dianjurkan Semesta hasil inisiatif Presidennya, Dr. Mahadi J. Murat itu memberi banyak makna dalam perkembangan industri perfileman tanah air yang semakin pesat sejak lima tahun kebelakangan ini.
Bidang itu mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan pada masa depan. Semua peluang kerjaya itu akan dipenuhi oleh mereka yang sedang mengikuti pengajian tersebut sekarang ini.
Namun, sebelum golongan terbabit membabitkan diri secara langsung dalam bidang perfileman, mereka seharusnya tahu latar belakang secara menyeluruh dalam bidang yang akan mereka ceburi kelak.
Segulung ijazah belum mampu menjadikan mereka benar-benar kreatif berkarya, apatah lagi bersaing dalam dunia kreatif yang tanpa sempadan. Sebab itu, YFF 2011 bolehlah dianggap sebagai salah satu program yang boleh membantu golongan terbabit.
Bagaimanapun, forum setahun sekali itu belum mencukupi. Sebaliknya, usaha bersepadu harus dilakukan oleh semua pihak bagi membantu generasi baru karyawan filem mengembangkan lagi kerjaya mereka.
Lebih banyak forum atau apa sahaja perbincangan tentang hala tuju bidang perfileman membabitkan karyawan muda mestilah dianjurkan. Sebagai penerus kesinambungan kerjaya ini yang sentiasa berubah-ubah, mereka sepatutnya mendapat pendedahan lebih meluas.
Para karyawan filem sekarang ini perlu berkongsi pengalaman dengan generasi baru.
Para pembikin filem hari ini menghasilkan filem berdasarkan situasi-situasi semasa, manakala generasi baru pula bakal mewarnai gaya pemikiran masa depan.
Bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh maklumat mengenai latar belakang industri ini mestilah disediakan kepada karyawan muda terbabit. Ia sebagai garis panduan sebelum mereka berkarya. Misalnya data-data tentang apa juga yang berkaitan dengan bidang yang berprospek tinggi itu.
Dalam hal ini, Finas sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan dalam bidang ini harus menyediakan lebih banyak data atau maklumat tentang dunia perfileman tanah air dan luar negara. Contohnya, dengan menubuhkan Pusat Sumber Filem.
Pusat seperti itu penting bagi menggalakkan pemuliharaan dan sumber rujukan bahan-bahan perfileman untuk digunakan oleh para pelajar. Rasanya, bahan-bahan yang disediakan di perpustakaan IPTA dan IPTS masih belum mencukupi bagi menampung keperluan tersebut.
Finas juga perlu menyediakan lebih banyak peruntukkan bagi apa sahaja yang berkaitan pembangunan perfileman termasuklah untuk karyawan filem baru. Pelan Tindakan Transformasi Industri Filem juga haruslah disediakan untuk golongan sasaran itu.
Pelan itu mencakupi pelbagai aspek. Ia bukan setakat aspek teknikal dalam pembikinan filem tetapi juga cara merangsang idea dalam menghasilkan karya yang lebih asli serta mampu diketengahkan hingga ke peringkat global. Ini cabaran paling utama buat mana-mana juga karyawan filem.
Selama ini, pembangunan modal insan golongan karyawan filem muda kurang diutamakan kerana lebih banyak tumpuan diberi kepada karyawan filem sedia ada. Harus diingat para karyawan filem muda adalah golongan yang akan mewarnai industri perfileman tempatan pada masa akan datang.
Justeru, tanpa pembangunan modal insan, pendedahan meluas, sokongan moral dan insentif, sukar untuk diramalkan bagaimanakah mutu perfileman di negara ini pada masa depan.
0 Komentar untuk "Dana yang kerajaan bagi juga perlu untuk bantu pelajar perfileman"