Festival seni Istana Budaya, Dewan Filharmonik


Mohd. Yazid Zakaria

Istana Budaya (IB) dan juga Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akan bergabung tenaga bagi menjayakan Festival Seni Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 2011 (KLCC Seni Festival).

Persembahan yang akan diadakan di DFP pada 28 Oktober ini itu bakal menghimpunkan 50 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan konduktor muzik, Mohd. Yazid Zakaria.

Menurut Yazid, peluang yang diberikan kepada pihak IB untuk membawa muzik tradisional ke DFP cukup membanggakan.

"Sememangnya kerjasama pertama ini merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan.

"Malah OTM juga telah membuat persiapan yang lengkap bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

"Lebih mencabar, persembahan pada malam tersebut turut menggabungkan muzik daripada pelbagai lapisan kaum di negara ini.

"Ini membuatkan pemuzik kami lebih bersedia bagi memastikan persembahan yang disampaikan adalah yang terbaik," jelasnya ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada malam tersebut, OTM bakal mempersembahkan kekayaan seni budaya melalui muzik dan lagu di samping menampilkan penyanyi undangan, Jaclyn Victor, Iqwal Hafiz dan juga kumpulan Orang Asli, Bahbola.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Gemilang, Joget Kenangan Manis, Somewhere, Corazon Espinado, medley P. Ramlee, Pak Ngah Balik, Santubong, Sayang Kinabalu, Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi.

Selain persembahan OTM di DFP, KLCC Seni Festival juga akan diserikan dengan persembahan Aswara Dance Company dan Ensembel Seni MPO hari ini pimpinan koreografer-koreografer terkenal tempatan seperti Joseph Gonzales, Shafirul Azmi dan Umesh Shetty.

Manakala pada Sabtu ini pula, giliran Seni Groove Ensemble mempersembahkan MPO's Naive Foray, di bawah pimpinan pemain trombon MPO, Marques Young.

Mereka akan menyampaikan muzik daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer.

Festival itu bakal berakhir dengan persembahan zapin dan ghazal daripada Badan Kesenian Warisan Johor pada 30 Oktober ini.
0 Komentar untuk "Festival seni Istana Budaya, Dewan Filharmonik"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info