Siti berpuas hati dengan album Inggeris pertama

Siti mula mengorak langkah lebih luas apabila tampil dengan album Inggeris pertamanya berjudul All Your Love pada 24 September lalu untuk pasaran di seluruh dunia.

Menurut penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini, album terbitan What's Up Entertainment Sdn. Bhd., itu bukan setakat dijual secara pasaran terbuka.

Sebaliknya, ia juga dijual secara talian dan muat turun di Internet yang kini menjadi trend dalam mana-mana juga industri muzik di seluruh dunia termasuklah di negara ini.

Album ke-14 Siti itu juga boleh dibeli dengan cara muat turun lagu-lagu daripada album tersebut di Internet selain bentuk album secara fizikal iaitu CD (cakera padat). Ini sesuatu yang baru bagi Siti.

"Siti berharap cara ini akan memperluaskan lagi jualan album itu. Kini album itu boleh dipasarkan di seluruh dunia. Semua orang walau berada di mana pun boleh mendengar album itu," katanya.

Penyanyi nombor satu tanah air ini menjelaskan, biarpun pertama kali menghasilkan album Inggeris tetapi dia berpuas hati dengan sambutan awal yang telah diberikan oleh para peminat setianya.
0 Komentar untuk "Siti berpuas hati dengan album Inggeris pertama"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info