Konsert Search : Live In Istana Budaya 2014

Search bakal menakluki Istana Budaya dalam konsert Search : Live In Istana Budaya 2014 pada 4 hingga 7 Disember ini.


Konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn Bhd ini juga bakal menyaksikan persembahan mantap daripada Search yang kali terakhir mengadakan konsert berskala besar di tanah air ialah Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Mines Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor tiga tahun lalu.

Vokalis Search, Amy berkata, mereka amat berbesar hati apabila akhirnya Search diberi peluang mengadakan konsert di Istana Budaya.

“Ini persembahan pertama kami di Istana Budaya. Pastinya ia adalah konsert yang lain daripada yang lain. Ia persembahan yang menggabungkan muzik rock & roll dan slow rock yang memang sinonim dengan Search. Kami akan pastikan penonton yang hadir akan mengenang konsert ini sampai bila-bila,” katanya.

Selain itu, Search juga memilih UCS sebagai penganjur kerana yakin dengan reputasi syarikat itu yang sebelum ini sering sukses dalam menganjurkan konsert membabitkan artis antarabangsa di sini.

Apa yang menarik, Search tidak sendirian pada malam konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam itu, sebaliknya mereka juga akan diiringi kumpulan Paladin yang dianggotai empat pemain cello.

Tiket-tiket berharga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 telah mula dijual sejak 15 Oktober lalu secara atas talian di www.ticketpro.com.my.

Sebahagian daripada kutipan tiket konsert ini juga akan disalurkan ke Tabung Gaza.
0 Komentar untuk "Konsert Search : Live In Istana Budaya 2014"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info