Nana masih setia bersama Era

MELIHAT kembali senarai nama peserta Akademi Fantasi (AF) musim pertama, tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa Nana paling berjaya dan menonjol berbanding rakan seangkatannya. Malah, populariti wanita ini boleh dikatakan mengatasi keseluruhan bekas pelajar AF musim pertama itu.

Suaranya kedengaran saban hari di corong radio sebagai penyampai Era. Wajahnya juga muncul di kaca televisyen Astro Ria serta kelibatnya dapat ditonton menerusi beberapa filem lakonannya. Kerana kejelitaan dan kemasyhurannya juga, dia sering kali menghiasi muka depan majalah hiburan, wanita dan fesyen tempatan.

Dek populariti yang melingkari hidupnya ketika ini juga, tidak mustahil apabila beberapa khabar angin sampai ke telinga pihak media, mengatakan wanita dari Selatan tanah air ini sudah mula diintai, seterusnya dilamar beberapa syarikat media lain, radio dan televisyen. Tarikan yang ada pada gadis peramah ini cukup kuat, membuatkan beberapa pihak kini dikatakan menunggu jawapan pastinya.

“Tipulah jika Nana kata tidak ada tawaran yang datang. Memang ada beberapa tawaran daripada radio pesaing sampai ke Nana, namun Nana masih setia bersama radio Era. Perjuangan Nana masih belum selesai di stesen nombor satu ini,” katanya ketika ditanya kesahihan tawaran berkenaan.

Wanita ini tidak banyak berbicara mengenai tawaran terbabit, selain berulang kali mengatakan, kesetiaannya kini masih bersama stesen popular itu yang banyak menaikkan namanya dalam industri hiburan tanah air.

Begitupun, setelah tiga tahun bersama Era, si pemilik wajah yang cantik ini mengaku, berkemungkinan besar dia akan terus kekal bersama stesen radio berkenaan.

“Kontrak Nana bersama Era akan tamat pada Disember nanti. Insya-Allah, Nana akan menyambung lagi kontrak itu bagi dua tahun berikutnya,” katanya mengenai kontrak yang diperbaharui sebanyak dua tahun sekali itu.

Katanya, dia amat selesa bersama radio terbabit kerana sejak awal pembabitan sebagai penyampai sehingga ke hari ini, dia diberikan slot jam 1 tengah hari sehingga 4 petang. Manakala pada setiap Ahad, selama tiga jam mulai 9 pagi, dia dan Aznil Nawawi mengendalikan pula carta lagu pujaan paling popular di Malaysia, Carta Era.

Ketika ini, hampir dua juta pendengar mengikuti program harian kendaliannya dan Nana sendiri bagai sudah memahami kerenah serta siapa yang menjadi pengikut setianya di udara.

“Meskipun begitu, Nana tidak boleh berpuas hati dengan apa yang Nana kecapi setakat ini. Nana sendiri berasakan, banyak lagi perkara yang Nana perlu pertingkatkan untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang penyampaian. Nana dapat rasakan, penyampaian Nana di radio terlalu laju. Biarpun pendengar boleh memahami butir bicara Nana, tetapi Nana sendiri beranggapan ia masih boleh diperbaiki dengan memperlahankan sedikit rentaknya,” kata penyampai ini.

Masih kekal sebagai stesen nombor satu, tentunya seluruh kakitangan radio berbahasa Melayu terbabit berasakan bahangnya apabila jumlah pendengar mereka sedikit menurun, manakala radio pesaing pula semakin dekat mengejar.

“Sudah tentu banyak tekanan yang kami semua rasakan dalam usaha mengekalkan Era sebagai stesen radio utama pilihan pendengar. Hendak mengekalkan kedudukan ini bukannya kerja yang mudah. Kami semua perlu sentiasa bekerja keras. Insya-Allah, dengan kerjasama yang baik daripada keseluruhan pasukan, Era mampu bertahan sebagai radio paling popular untuk sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang,” ujar Nana.

Seandainya di radio, kesetiaannya utuh bersama Era, namun sejak beberapa minggu lalu, Nana sudah pun ke udara secara langsung bersama rancangan Galaksi siaran TV9.

Katanya, dia tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen dan kemunculannya mengacarakan program hiburan itu hanyalah berdasarkan kontrak yang ditanda tangan untuk rancangan itu saja.
0 Komentar untuk "Nana masih setia bersama Era"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info