Yusry KRU akui sekadar berkawan dengan Maya Karin

PINTU hatinya tidak akan pernah tertutup untuk mencintai wanita. Meskipun rumah tangga yang dibinanya bersama aktres dan penyanyi wanita terkenal, Erra Fazira rebah di pertengahan jalan, Yusry tidak pernah menyesal melalui pengalaman itu.

Sejak perpisahan yang meruntun hati ramai peminat mereka berdua, nama lelaki ini acap kali dikaitkan dengan beberapa wanita terkenal. Duda paling menjadi perhatian ini tidak pernah sunyi daripada gosip cinta baru.

Malam Festival Filem Malaysia ke- 2- yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, awal Ogos lalu menghangatkan semula gosip percintaan Yusry apabila dia ke sana bersama aktres jelita, Maya Karin.

Benarkah antara mereka sedang mula menjalin hubungan yang istimewa? Tatkala pertanyaan itu diajukan, Yusry pantas menghamburkan tawanya sebelum memberi penjelasan.

“Kami ke sana untuk sama-sama mempromosikan filem Duyung. Lagipun, saya sudah berjanji dengan Maya untuk ke sana bersama-sama. Tiada apa yang istimewa antara kami.

“Hubungan kami tidak pernah pergi lebih daripada persahabatan. Malah masa penggambaran Duyung pun kami kerap berhubung atas sebab kerja, bukan kerana peribadi,” katanya, memperjelaskan kedudukan sebenar hubungan mereka pada acara makan malam bersama KRU Publishing di Bora Ombak, Ampang, baru-baru ini.

Meskipun pintu hati bekas isterinya sudah dibuka oleh cinta baru, Yusry hingga hari ini masih tegar sendirian. Belum ada tanda mahu menjalin hubungan yang serius walaupun agak sukar untuk dia menafikan bukan tiada wanita yang ingin melamar cintanya.

Cuma kata Yusry, kesibukan menyukarkan dirinya untuk memberi komitmen dalam sebuah perhubungan. Sebagai manusia, dia tidak pernah kecewa dengan kegagalan lalu sebaliknya Yusry melihat keruntuhan rumah tangga pertamanya sebagai proses pembelajaran untuk dia menuju kematangan.

“Saya masih mencari dan tidak akan pernah berhenti mencari. Cuma ketika ini, saya terlalu sibuk dengan karier. Jujurnya saya tidak pernah serik dengan kegagalan lalu. Itu semua sebagai proses pembelajaran untuk saya lebih matang menghadapi kehidupan.

“Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang ditakdirkan,” katanya
0 Komentar untuk "Yusry KRU akui sekadar berkawan dengan Maya Karin"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info