KALI pertama melaksanakan ibadah puasa pastinya berhadapan pelbagai masalah dan cabaran. Namun berkat bantuan dan sokongan orang disayangi, tentunya segala itu dihadapi dengan tabah.Penyanyi Ning Baizura Hamzah, 32, memberi sepenuh sokongan dan bantuannya dalam memastikan tunangnya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 33, dapat menjalani puasa buat pertamanya tahun ini dengan sempurna.
Katanya, dia bangga kerana Omar begitu tekun melaksanakan ibadah puasa buat kali pertama selepas memeluk Islam Julai lalu."Sebagai orang baru, saya faham tentu banyak masalah yang harus dihadapinya memulakan ibadah puasa. Saya cuba mengajarnya melaksanakan ibadah puasa secara perlahan-lahan. "Ia ibarat mengajar budak dan saya kata kepadanya sekiranya tidak tahan, cubalah puasa setengah hari dan cuba tingkatkan pada keesokan hari hingga dapat berpuasa penuh."Sepanjang melaksanakan ibadah puasa ini, saya harus sabar melayani kerenah Omar kerana dia banyak bertanya dan ingin tahu mengenai beberapa perkara berkaitan Ramadan.
"Namun dia begitu bersungguh sehinggakan pada hari kedua saja dia sudah dapat berpuasa penuh. Saya tidak sangka dan bangga dengannya walaupun dalam waktu sama dia selalu mengadu lapar dan haus," katanya ketika d ditemui di majlis bersahur anjuran syarikat rakaman Ning, Artist United Record (AUR), baru-baru ini.Dalam waktu sama sebagai tanda sokongan, Ning seboleh mungkin memastikan dia dapat meluangkan masa berbuka bersama tunang."Selalunya apabila pulang dia akan singgah di rumah ibu saya dan kami akan berbuka bersama-sama. Biasanya ibu, Satilah Abdullah cuba memasak beberapa makanan yang digemari Omar, termasuk kari dan roti canai.
"Selain daripada itu apabila saya terpaksa memenuhi jemputan berbuka puasa di luar, Omar akan dibawa bersama. Selain itu, perkara menarik saya tahu mengenai Omar dia amat sukakan kurma sehinggakan dia boleh makan setengah kotak pada satu malam," katanya.
Selain itu kata Ning, apabila berbuka Omar turut hairan kenapa dia tidak boleh makan terlalu banyak dan makan dengan laju walaupun perutnya berasa amat lapar."Apabila dia bertanya perkara seperti itu, saya jelaskan kepadanya selepas perut lama berehat dari bekerja sudah tentu ia terkejut apabila makanan masuk dengan banyak. "Sebab itu saya nasihatkan kepadanya agar makan sedikit tetapi dengan kerap sepanjang bulan puasa. Selain itu, saya selalu mengejutkannya untuk bersahur dalam masa agak lewat.
Bimbang kalau dia bersahur terlalu awal nanti, dia cepat lapar dan meminta dia makan yang lebih berat," katanya.Omar yang melangsungkan pertunangan dengan Ning pada 19 Julai lalu berkata, dia dapat melaksanakan ibadah puasa dengan tenang tanpa berasa tertekan apabila masuk minggu kedua Ramadan."Seumur hidup saya tidak pernah berpuasa dan ini kali pertama saya melakukannya. Saya banyak mengetahui mengenai ibadat puasa dan mempelajarinya sewaktu mengikuti kelas agama di Outreach Program di Ampang."Hari pertama berpuasa, saya punya urusan di Jakarta dan waktu itu terasa besar cabarannya. Saya cuba bertahan tetapi tidak mampu akhirnya saya minum juga segelas air suam. "Begitupun saya cuba menahan perut agar tidak makan supaya saya dapat melatih diri.
Masuk hari kedua, saya sudah berada di Kuala Lumpur. Ternyata saya dapat mengharungi hari itu walaupun perut sentiasa lapar dan badan lemah. "Begitu juga dengan hari-hari seterusnya. Berlaku insiden menggelikan hati apabila saya datang ke pejabat dan terus membancuh kopi seperti biasa, sedangkan saya berpuasa. Mujur sebelum air masuk ke mulut, saya teringat yang saya berpuasa," katanya.
Sumber : Metro
0 Komentar untuk "Bimbing tunang berpuasa"