Kini, selepas hampir tiga bulan menanti akhirnya Dekna mendapat peluang bekerja dengan produksi lain selepas menjayakan program terbitan Astro. Dekna akan muncul di TV9 apabila menjayakan drama komedi Kuih Bangkit yang akan disiarkan pada hari raya nanti.
Dekna berkata, peluang menjayakan drama komedi Kuih Bangkit itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.“Sebelum ini saya hanya terbabit dengan produksi terbitan Astro dan belum pernah menerima tawaran dari pihak luar. Sudah tentu saya mahu mencuba bakat dalam pelbagai bidang dan tidak terhad kepada bidang nyanyian saja.“Baru-baru ini saya terbabit dalam sitkom AF5 Raya, tetapi ia lebih kepada hiburan ringan. Dalam rancangan itu, semua bintang AF5 terbabit. “Saya juga mahu mencuba bidang lakonan dengan lebih serius dan mendalam.
Apabila penerbit Kuih Bangkit mempelawa saya membintangi drama ini, sudah tentu saya gembira kerana ia mampu dijadikan langkah pertama untuk pergi jauh dalam bidang lakonan.“Ia turut memberi makna bahawa bakat saya dalam rancangan AF5 sebelum ini turut diperhatikan. Apa yang lebih menggembirakan saya apabila diberi watak komedi kerana kena dengan karakter saya.“Kebetulan saya sendiri memang kelakar orangnya. Untuk permulaan, saya memerlukan watak yang dekat dengan diri saya untuk menyesuaikan diri,” katanya.Dalam drama ini, Dekna digandingkan dengan Amyza Adnan, Imuda, Osman Kering, Munir dan Cat Farish. Apa yang menyentuh perasaan artis muda berasal dari Padang Kota, Pulau Pinang ini apabila pihak penerbitan drama Kuih Bangkit sanggup menunggunya bagi membolehkan dia membabitkan diri dalam drama itu.
“Hendak diikutkan siapalah saya jika dibandingkan dengan begitu ramai pelakon senior yang jauh lebih berbakat. Dalam waktu sama, sebaik keluar dari AF5, jadual kerja saya begitu penuh sehingga payah hendak mencuri masa.
“Begitupun, pengarah drama ini, Cik Li, yakin dengan kemampuan saya dan sanggup menunggu. Saya masih ingat sewaktu dia melamar saya membintangi drama Kuih Bangkit, katanya hanya saya difikirkan sesuai memegang watak wanita yang menghadapi masalah sikap seperti apa yang digambarkan dalam skrip.“Sepanjang berlakon dalam drama ini, saya turut mendapat tunjuk ajar dari pelakon lain terutama Munir yang banyak membantu,” katanya.
Mengenai pembabitannya dalam drama komedi dan bakal memberikan dirinya gelaran pelawak sekali gus mengehadkan pembabitannya dalam produksi drama lain, jelas Dekna dia tidak pernah memikirkan soal itu.“Sebenarnya saya lebih senang membawakan watak komedi kerana ia dekat dengan diri saya. Contohnya, untuk drama Kuih Bangkit, saya tidak perlu bergantung seratus-peratus kepada skrip dan ia hanya digunakan sebagai garis panduan.“Penghayatan watak pun saya mampu lakukan sendiri tanpa sebarang masalah. Pada saya, lebih baik melakukan perkara yang saya yakin mampu memberikan komitmen 100 peratus.“Berbeza dengan watak lain yang belum tentu saya mampu melakukannya dengan baik berbanding diberikan kepada mereka yang berkemampuan untuk melakukannya.
Bukankah Tuhan menjadikan setiap manusia dengan kelebihan dan bakat pelbagai,” katanya. Bercerita hal peribadi terutama membabitkan hubungan dengan tunangnya, Dekna berkata, buat masa sekarang mereka jarang bertemu kerana masing-masing sibuk dengan tugas.“Baru-baru ini saya bercuti tiga hari, jadi dapatlah meluangkan masa pulang ke kampung berbuka puasa bersama keluarga. “Bagaimanapun, saya tidak berkesempatan bertemu tunang kerana dia sibuk bekerja. Saya pula bercuti pada hari biasa dan bukan cuti umum. Begitu pun kami masih berhubungan menerusi telefon,” katanya.Dekna turut menolak desas-desus sebelum ini mengatakan dia sudah memutuskan pertunangannya selepas timbul isu kononnya dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi bintang AF5, Rizal dari Kuching, Sarawak.
Profile
Nama Penuh: Aryanna Najwa Bt Ahmad
Panggilan: Dekna
Tarikh Lahir: 22 Disember 1988
Asal: Padang Kota Lama, Pulau Pinang
Tinggi: 172sm
Berat: 56kg
Hobi: Menyanyi, menjahit dan membeli-belah
Makanan Kegemaran: Nasi tomato, ayam masak merah dan laksa
Minuman Kegemaran: Jus oren dan milo ais
Drama: Kuih Bangkit dan Rumah Terbuka AF
Sumber : Metro
0 Komentar untuk "Langkah pertama Dekna"