Hans Isaac temui cinta sejati

“Mana mungkin baru putus cinta sudah ada pengganti. Saya memerlukan tempoh untuk bercinta semula,” kata Hans Isaac yang kini digosipkan intim dengan Fasha Sandha.
Jelasnya, sekarang ini dia lebih selesa bercinta dengan kerjaya seninya yang dianggap cinta sejati, berbanding bercinta dengan wanita. Malah katanya, kini semangat untuk bekerja semakin menebal di jiwanya.
Justeru itulah, Hans tidak sabar untuk menerbitkan filem kedua syarikatnya, Tall Order Production selepas filem Cuci (tayangan Januari 2008).

Untuk itu Hans telah ke Phuket, Thailand. Bukan untuk bersuka ria tapi melampias otak menghasilkan skrip bagi filem Laga Ikan, Minah dan Rejang.
Di sana dia ditemani Harith Iskandar, Rauf Abd. Rahman, Izwan Ariff dan Gavin Singh.
Jelasnya dalam tempoh lima hari di sana, mereka dapat memberi tumpuan seratus peratus pada penulisan skrip tanpa gangguan luar.

“Kalau buat di Kuala Lumpur, mesti masing-masing ada hal. Di sana, kami betul-betul tumpu tulis skrip. Malam sewa motor keluar cari makanan untuk sahur,” ceritanya.
Hans yang tabah dan matang menempuhi segala cabaran itu berkata, sekarang bukan waktu untuk rileks.
Jelas Hans, filem kedua terbitannya ialah Laga Ikan.

Antara pelakon yang dijangka berlakon dalam filem arahan Hans itu ialah Maya Karin, Fasha Sandha dan Adibah Noor.
Selain Laga Ikan, Hans juga berusaha untuk menerbitkan filem Minah. Sementara filem Rejang yang skripnya dihasilkan sejak lapan tahun lalu dijangka memulakan penggambaran tahun depan.
“Langkah seterusnya saya kena cari wang untuk buat filem. Saya bukannya kaya nak keluar wang sendiri. Kalau ada pelabur dan mendapat dana itu ringanlah sikit,” akuinya.

Sumber : Utusan
0 Komentar untuk "Hans Isaac temui cinta sejati"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info