Belum terdesak berumah tanggaHANYA senyuman meleret terukir pada wajah bintang Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Maya Karin, apabila ditanya soal kahwin.
Namun, kebahagiaan yang terpancar pada wajah gadis jelita ini seolah-olah menceritakan segala-galanya.“Sebenarnya, saya yang belum bersedia lagi untuk berkahwin. Terus terang, saya bukanlah terdesak hendak kahwin kerana masih banyak lagi agenda seni yang belum dicapai.“Malah, ibu saya sendiri tidak kisah saya lambat kahwin kerana usia saya masih belum mencecah 30-an.
“Zaman sekarang, istilah andartu lebih tepat pada wanita berusia berusia 40 tahun yang masih hidup membujang,” katanya. Apapun, kata Maya, bila tiba hari bahagianya nanti dia pasti mengundang pihak media yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini merasai bersama detik gembira itu.“Saya ingin meraikan hari bahagia saya itu bersama pihak media.
Impian saya untuk pastikan semua orang berasa seronok kerana saya ingin bergembira dengan pihak media pada hari bersejarah itu.“Justeru, gosip mengatakan saya sudah berkahwin senyap-senyap tidak benar sama sekali,” katanya. Maya berkata, mengikut perancangannya, majlis perkahwinannya nanti sangat ringkas dan bukan `Wedding Of The Year'.“Ia juga perkahwinan campuran antara Barat dan tradisional. Saya perlu buat majlis tradisional juga kerana ia impian ibu.
“Saya banyak kali menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakan sebelum ini dan apa yang saya perhatikan, selepas jamuan selalunya tetamu terus meninggalkan majlis. Saya tidak suka kalau orang buat begitu di majlis saya,” katanya.
Maya yang sudah mencecah usia 28 tahun juga tidak berselindung mengenai jejaka bertuah yang bertakhta di hatinya kini.Malah, dia mengaku sudah menjalinkan hubungan dengan jejaka itu sejak beberapa tahun lalu.“Memang saya berkawan rapat dengannya. Dia bukan orang tempatan sebaliknya dari benua Eropah. Dia bukanlah artis atau golongan kenamaan, sebaliknya orang biasa saja,” katanya Maya berkata, jika tidak terbabit dengan aktiviti seni dia mengisi masa lapangnya dengan memasak.
“Saya suka mencuba pelbagai resipi baru dan saya sudah pandai buat kari ayam yang lazat. Selain itu, hobi baru saya kini membuat kek dan saya baru saja berjaya buat kek strawberry yang enak. “Saya bukanlah pandai sangat buat kek kerana saya masih belajar lagi,” katanya.Ketika ditanya sama ada dia belajar memasak sebagai persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga, Maya enggan mengulas lanjut sebaliknya hanya memberikan senyuman penuh makna.
Tidak cukup dengan itu, kerjaya seni Maya juga begitu memberangsangkan.Selepas filem lakonannya 1957: Hati Malaya mewakili negara bagi kategori filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF'07) baru-baru ini, filem Anak Halal lakonannya pula bakal menemui penonton pada 13 Disember ini.Manakala filem Duyung lakonannya pula dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun depan.“Saya sebenarnya ada dua lagi projek filem baru pada tahun depan dan salah satunya bergenre komedi. Biarlah orang cakap saya asyik berlakon filem Shuhaimi Baba saja yang juga menampilkan barisan pelakon yang sama.
Bagi saya semua orang ingin bekerja dengan Shuhaimi, begitu juga saya.“Saya ingin bertanya kepada anda, bagaimana saya ingin menolak tawaran berlakon dengan Shuhaimi kerana semua karyanya memang hebat.“Cuma lepas ini, kalau berlakon dengan Shuhaimi lagi biarlah saya digandingkan dengan hero lain pula selain Rusdi Ramli.“Saya tidak mahu orang kata saya hanya layak jadi `hantu cantik' saja kerana saya ingin lakonan saya dipelbagaikan. Antara watak yang saya idamkan ialah pahlawan wanita yang menunggang kuda,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta jam tangan Tag Heuer selama setahun bermula November tahun ini.
Acara itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Tag Heuer, Jean-Christophe Babin di butik Tag Heuer di Pavillion.Antara duta antarabangsa Tag Heuer ialah bintang Hollywood Brad Pitt dan Uma Thurman. Selain Tag Heuer, Maya juga duta L'Oreal dan Celcom.
Sumber : Metro
0 Komentar untuk "Maya pilih jejaka Eropah"