Lagu menonjol, tarian jazz kaku

JIKA cabaran tarian sebelum ini peserta Sehati Berdansa dilihat ada peningkatan. Namun, lain pula ceritanya dengan tarian jazz. Rata-rata persembahan peserta kurang memberangsangkan.
Malah, juri mengatakan peserta lebih terpengaruh dengan lagu berbanding tarian. Justeru, ada antaranya tidak nampak seperti menari jazz. Apapun, mereka dianggap berjaya mengatasi cabaran itu.

Sekalipun sukar, kemaraan pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak sememangnya tidak dapat digugat. Seperti minggu sebelumnya, pasangan ini masih menjadi pilihan juri dan penonton di rumah.Diikuti pasangan Raianna Abdul Rahman (Rai)/ Zain Shah Mohamed, Raja Putri Atilia Raha Haron (Atilia)/ Ariff Johan Abdul Jalil serta Mohd Rizman Mohd Khuzaimi (Riezman)/ Kartina Ayoob.

Berada di kedudukan 'rapuh' pada minggu lalu ialah pasangan Ngasriah Ngasri (Anne) dan suami, Abdul Wafi Hassan yang menjadi peserta 'kelima' terselamat daripada penyingkiran.Dalam program Debaran Sehati Berdansa malam Ahad lalu, pasangan Asfarina Muhamad (As Feminin) dan Azman Adnan tersingkir selepas gagal meraih markah tinggi daripada juri dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Azman, 36, berkata penyingkirannya dan isteri disebabkan kesilapan dirinya sendiri. Katanya, apa yang dikatakan juri mengenai gerak tarinya benar dan dia tidak berkecil hati."Saya menerima segala kritikan itu sebagai teguran membina. Malah saya tidak sesekali menyalahkan juri kerana apa yang mereka komen itu ada benarnya. Memang saya buat silap."Selama ini pun saya memang keras dan tidak pandai menari. Saya dan isteri menyertai program ini kerana kebajikan dan kami mewakili Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB)," katanya.

Bapa kepada tiga anak dan bekas pemain bola sepak Selangor itu berkata, tarian jazz minggu lalu nyata amat mencabar. Ditambah dengan iringan penyanyi latar sebagai kejutan kepada peserta.
Ditanya apakah mereka bersedia sekiranya diundang menjayakan program seperti ini lagi, Asfariana atau As, 32, pula berkata biarlah mereka jadi penonton pula. Katanya peluang itu untuk orang lain."Kami sudah berjaya hingga tahap ini. Oleh itu, pada masa akan datang biarlah orang lain pula menyertainya. Bagi saya dan suami, perjuangan kami sudah berakhir," katanya.

Penyingkiran As dan Azman sebagai peserta ketiga selepas pasangan Radhi (OAG) dan Haiza diumumkan hos Sehati Berdansa, Linda Onn dan Fahrin Ahmad. Hadir sama, juri tetap iaitu Linda Jasmine Hashim dan Fathee Abdullah.Sementara itu Anne berkata, dia dan suami sebenarnya gementar menunggu keputusan penyingkiran.

Katanya jika ditakdirkan 'terkeluar' malam itu, mereka reda dan tidak kisah."Kami sedar, menang atau kalah adat pertandingan. Lebih-lebih lagi pertandingan yang ada undian SMS ini apa-apa saja boleh berlaku dan kami harus bersedia menerima sebarang keputusan."Apapun, jauh di sudut hati kami bersyukur kerana dapat meneruskan perjuangan pada minggu kelima. Pada minggu ini, kami perlu berusaha keras untuk menampilkan persembahan menarik."Kini saya berpegang janji kepada dua orang. Pertama, Haiza dan kedua, As. Sebelum meninggalkan pentas, As meminta saya berusaha membuat yang terbaik dalam minggu kelima nanti," katanya.

Anne berkata, dia sangat rapat dengan Haiza dan As. Namun dua wanita itu sudah terkandas dan disingkirkan daripada persaingan. Oleh itu, tinggal dia saja yang masih bertahan.Ibu seorang anak ini berkata, dia akan sedaya upaya menari dengan baik. Akui, tarian jazz memang sukar. Gerak tarinya mesti tepat dan setiap gerak tidak boleh lupa.Ternyata kehadiran Haiza pada malam itu memberi semangat kepada Anne. Haiza yang tersingkir minggu lalu, hadir bersama suami, Norhanafpe Omar sebagai tanda sokongan kepada rakan yang lain.

Sumber : Metro
0 Komentar untuk "Lagu menonjol, tarian jazz kaku"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info