Debaran hos Rentak Juara

BERSATU... Rentak Juara 2010 bakal menggabungkan empat pengacara sekali gus (dari kiri) Odey Petra, Pool, Nurata dan Muaz.


MENJELANG konsert akhir program realiti Rentak Juara 2010 (RJ2010) esok (17 Julai), pelbagai persiapan dilakukan bagi memastikan rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berjalan lancar.

Debaran bukan sahaja dirasai oleh lapan peserta yang layak melangkah ke pentas akhir, bahkan ia turut menyeliputi seluruh tenaga kerja produksi yang terlibat secara langsung pada malam itu.

Tidak ketinggalan adalah individu yang akan mengacarakan rancangan tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam.

Mereka yang dimaksudkan ialah Pool, Nurata, Muaz dan Odey.
Keempat-empat pengacara ini akan disatukan di satu pentas sebagai nadi pelancaran program yang diadakan dua tahun sekali itu.

Konsert akhir Rentak Juara 2010 kali ini bakal menyaksikan pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 sementara naib juara RM50,000.

Kumpulan Paling Popular pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 manakala Lagu Terbaik menerima wang tunai sebanyak RM20,000.
Selain itu, terdapat lima lagi kategori hadiah bagi pemenang individu iaitu Vokal Terbaik, Pemain Gitar Terbaik, Pemain Dram Terbaik, Pemain Bass Terbaik dan Pemain Keyboard Terbaik. Hadiah ditaja oleh JS Music Sdn Bhd.
0 Komentar untuk "Debaran hos Rentak Juara"

 
Copyright © 2005 Malaywood - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info