SENIWATI MARIAM Pelakon veteran Mariam Baharom yang lebih popular dengan panggilan Mariam Kembar atau Mariam Tahi Lalat menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini kerana asma di rumah anaknya penyanyi Rozie Rahim di Yishun Condo, Singapura.
Allahyarham berusia 75 tahun. Dan selamat simadikan di Pusara Aman, Singapura sebelum waktu Zuhur hari ini. Anaknya, penyanyi Rahimah Rahim memberitahu ibunya sudah lama uzur dan tidak keluar rumah sejak beberapa tahun. Sebelum ini arwah hanya terbaring di katilnya. "Arwah menyambut ulang tahun ke-75 pada 2 Ogos lalu dan dia ada mengidam mahu makan nasi dagang. Kami membelinya di Johor agar dia tidak kempunan. "Semua saudara dari Johor dan Kuala Lumpur sempat datang pagi tadi. Ogy (Fauziah Ahmad Daud, anak saudara Allahyarham) pun datang tadi," kata Rahimah. Menurut Rahimah, mereka menyiapkan bilik di rumah Rozie seperti kemudahan katil hospital kerana ibunya tidak dapat bergerak sendiri.
JIWA SENINYA KUAT... Belasungkawa
Mariam dilahirkan di Singapura pada tahun 1935. Pada peringkat awal, Mariam bekerja di restoran sebagai seorang pelayan, Mariam dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Antara pengunjung yang sering ke restoran tempat Mariam bekerja ialah beberapa orang pekerja Studio Malay Film Productions (MFP). Merekalah yang menyuruh Mariam ke Studio MFP, mencari peluang berlakon.
Mariam ke Studio MFP di Jalan Ampas. Pada mulanya hanya untuk melihat penggambaran filem. Mariam kemudiannya menjadi pelakon tambahan. Filem pertamanya Dewi Murni yang diarahkan oleh B. S. Rajhans pada tahun 1950.
Mariam kemudian diberikan peranan penting bersama M. Amin dalam filemKembar pada tahun 1950. Mariam membawa watak gadis kembar yang mengelirukan seorang lelaki. Peranan gadis kembar filem tersebut menyebabkan peminat filem Melayu memanggilnya Mariam Kembar. Populariti Mariam memuncak apabila berlakon di samping P. Ramlee dalam filem, Anjuran Nasib yang diarahkan oleh B. S. Rajhans pada tahun 1952. Selain mempamerkan lakonan yang baik, Mariam juga menunjukkan kebolehan beliau menari dalam filem yang banyak menghidangkan lagu dan tarian itu. Mariam menghadapi masalah berat badan ketika kemashuran beliau melonjak. Hal tersebut menjadi sungutan peminat beliau yang mahukan heroin pujaan mereka sentiasa cantik dengan potongan badan yang menarik. Mariam merupakan seorang pelakon sejati, yang sentiasa mementingkan seni melebihi segala-galanya. Mariam dengan ikhlas menerima peranan yang tidak begitu penting dalam sebuah filem arahan P. Ramlee pada tahun 1960.
Dalam filem Antara Dua Darjat itu, Mariam memegang peranan sebagai seorang pembantu rumah. Peranan tersebut boleh dikatakan kecil dari segi kedudukan beliau sebagai pelakon ternama. Dalam hal tersebut, Mariam pernah berkata, "bukan peranan yang penting buat saya tetapi penghayatan lakonan itu".
Mariam merupakan kakak Saadiah. Beliaulah yang membukakan jalan kepada Saadiah menjejaki dunia filem hingga menjadi pelakon berwatak besar. Dalam filem tersebut, adik beliau, Saadiah menjadi heroin di samping P. Ramlee.
Selepas itu Mariam menjadi pelakon bebas yang tidak terikat dengan kontrak jangka panjang dengan mana-mana studio. Ketika itulah, Mariam berlakon dalam beberapa buah filem keluaran Cathay Keris. Anak-anak Mariam turut menjadi anak seni iaitu Bat Latif, Rahimah Rahim, Rozie Rahim dan Rahman Rahim. Antara filem lakonan Allahyarham ialah Abu Hassan Pencuri, Kipas Hikmat, Anjuran Nasib, Kerana Kau, Aladdin, Aloha dan banyak lagi. Alfatihah. |
0 Komentar untuk "Alfatihah: Mariam Tahi Lalat"