JIKA tiada aral melintang, esok (11 Ogos) seluruh umat Islam di dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Sememangnya bulan yang menjanjikan 1001 ganjaran lumayan buat umat Islam yang bijak mengambil peluang memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia.
Lebih manis lagi seandainya bulan yang penuh rahmat itu diraikan bersama-sama dengan orang yang tersayang termasuk keluarga dan teman-teman rapat.
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, bulan Ramadan menyimpan pelbagai kenangan manis yang masih lagi segar dalam kotak fikirannya.
Mana mungkin katanya, untuk dia melepaskan semuanya begitu sahaja biarpun sudah menjadi seorang isteri.
Satu yang pasti, tahun 1431 Hijrah menyaksikan tahun kedua Siti menyambut kedatangan tanpa kehadiran seorang bapa di sisi untuk sama-sama meraikan bulan mulia itu.
Mengakui di tahun pertama, perasaannya begitu syahdu dan sayu apabila mengenangkan ketiadaan bapa tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail yang meninggal dunia pada 15 Februari tahun lalu.
Namun, keadaan kini sudah berubah apabila Siti memberitahu dia dan ahli keluarga yang lain sudah dapat membiasakan diri dan menerima ketentuan Ilahi.
Tetapi, cerita Siti, kenangan puasa bersama arwah abah (panggilan untuk Allahyarham Tarudin) tidak sesekali akan dilupakan terutama ketika waktu bersahur.
"Ketika itulah, arwah abah akan menunggu semua anak-anaknya untuk bersahur bersama-sama. Biar dia tidak makan dan hanya sekadar meneguk air tapi dia akan memastikan anak-anak makan sahur.
"Memang dia sukakan waktu sahur dan suka melihat anak-anaknya berkumpul menikmati juadah. Dia hanya akan makan selepas anak-anaknya selesai," cerita Siti tenang sambil mengukir senyuman manis.
0 Komentar untuk "Ramadan syahdu buat Siti"